Saturday, December 4, 2010

Budak hitam

Haji Malim bermenung di ruang jendela banglo tiga tingkatnya. Kedudukan banglonya yang strategik di puncak Bukit Kaya, memberi peluang kepadanya melihat persekitaraan bandaraya Kuala Lumpur pada waktu petang dengan jelas. Kereta kecil dan besar dalam berbagai bentuk bertali arus mengisi dada Kuala Lumpur. Aerobus pun bergerak dari stesen dengan pantas seperti bebola berada di awang-awang.

Di ufuk barat Kuala Lumpur, cahaya kaki langit bersaga. Mentari yang membakar dada bandaraya itu perlahan-lahan menyelinap masuk ke peraduanya. Ia menandakan tidak lama lagi waktu malam akan tiba. Itulah keajaiban ciptaan Allahuwajalla. Siang dan malam menjadi pemisah waktu.
Haji Malim ingin berhibur dengan keindahan alam ketika itu. Hati kecilnya sungguh terluka kerana kedatangan seorang budak hitam yang tidak diundang ke banglonya pada hari itu. Haji Malim tidak tahu bagiamana tetamu kerdil itu boleh masuk ke perkarangan banglonya sedangkan sekitarnya dipagari dawai berduri. Pintu pagarnya pula diawasi oleh pengawal bersenjata yang menakjubkan lagi, tetamu itu mampu mendaki bukit yang begitu tinggi. Ia hanya mampu didaki oleh kenderaan besar seperti jip atau trooper sahaja.

Budak hitam yang terpacak tiba-tiba di muka pintu banglonya kelihatan sungguh daif. Pakaiannya compang - camping. Badannya berkilat dan berminyak. Keringat yang mengalir ke seluruh tubuhnya bertambah kilat kerana kulitnya hitam seperti bontot kuali. Bau keringat dan pakaiannya yang lusuh itu menyakitkan lubang hidung Haji Malim.

"apa awak mahu datang ke sini?" tanya haji malim, seperti dia menyoal tetamu lain yang pernah datang ke banglonya.

"tuan saya lapar. Berikan saya air dan sedikit hidangan," budak hitam itu memohon simpati.

"berapa banyak?"

"sedikit sahaja. Kalau air itu boleh menahan sedikit kehausan dan makanan boleh menahan kelaparan, ia sudah cukup untuk tuan. Cukup untuk saya bersyukur," rayu budak hitam dengan tenang.

Haji Malim merenung budak hitam itu dari hujung kepala hingga ke hujung kakinya. "tunggu," kata Haji Malim setelah puas merenungi budak hitam itu.

Budak Hitam itu menunggu dengan sabar. Dia tidak berganjak sedikit pun dari tempat dia berdiri sejak tadi. Matanya meleret melihat langkah Haji Malim meniti anak tangga ke tingkat atas. Seluruh ruang banglo Haji Malim dihiasi dengan khat ayat- ayat Al-Quran, yang diperbuat daripada tembaga.

"nah seratus ringgit. Awak gunalah wang ini untuk minum, makan atau apa saja yang awak suka. Aku halalkan,"

"saya tak mahu wang. Saya nak air dan sedikit makanan, bukan wang,"

"tak mahukan not seratus ini," bisik hati kecil haji malim, sambil dia membelek-belek not seratus yang belum bertukar tangan.

"saya nak air dan sedikit makanan, itu saja," budak hitam itu mengulangi.

"tak boleh!!"

Budak hitam itu tak membalas. Dia merenuni Haji Malim lama-lama, seperti Haji Malim merenunginya tadi. Kemudiannya dengan langkah longlai dia meninggalkan Haji Malim. Haji Malim terpegun. Pelik dan takjub.

Peristiwa petang tadi jelas terbayang dalam benak Haji Malim. Ia sungguh mencuit kalbunya. Sambil berkeluh-kesah dia melmparkan pandangannya ke arah kereta-kereta yang bersimpang siur di dada Kuala Lumpur untuk menghiburkan dirinya.

"Jusuh! Taib!" teriak Haji Malim sekuat hatinya.

"Jusuh! Taib!" teriaknya sekali lagi seolah-olah tidak puas dengan teriakan yang pertama tadi.

Tidak berapa lam selepas itu, Jusuh dan Taib kelihatan berlari anak meniti anak tangga ke tingkat atas menemui Haji Malim. Jusuh dan Taib termengah-mengah keletihan. Mereka terkulat-kulat memandang wajah Haji Malim yang serius.

"saya tuan haji," kata Jusuh dan Taib serentak.

"awak pergi panggil pengawal di gate hadapan sekarang. Katakan saya mahu jumpa sekarang."

"ya," akur Jusuh dan Taib. Kedua-duanya berpusing membelakangkan Haji Malim menuruni anak tangga.

"nanti. Biar Jusuh yang pergi," Haji Malim memerintah.

Taib terpinga-pinga mendengar arahan Haji Malim. Dia kembali ke tempat asalnya berhadapan dengan Haji Malim. Seram sejuk rasanya, bagaikan menunggu hukuman gantung yang akan dijatuhkan kepadanya.

"aku masih memikirkan bagaiman budak hitam itu boleh masuk ke sini petang tadi? Awak tahu Taib?"

Taib membisu. Hati dan akalnya tidak dapat meneka bagaimana seorang budak hitam boleh muncul tiba-tiba di ruang pintu banglo haji malim. Hjh Azizah, Hjh Sharifah dan Hjh Sakinah, ketiga-tiga isteri Haji Malim pun tidak menyedari kehadiran budak hitam itu. Semuanya pelik.

"saya tak sedar tuan haji. Kalau mak-mak encik semua tahu, saya kurang arif."

"mustahil rumah besar dan berpagar begini bpleh disusupi oleh seorang kanak-kanak kecil," Haji Malim mendengus.

"benar tuan haji," Taib kegugupan. Dia sungguh takut.

"mana mak-mak encik awak? Suruh mereka datang jumpa aku sekarang!"

Taib lantas menuruni anak tangga ke ruang tamu di bahagian bawah. Lega sungguh rasanya. Hatinya berkata-kata, biarlah Hjh Azizah, Hjh Sharifah dan Hjh Sakinah menghadapinya pula.

Ketika melalui anak tangga, Taib berselisih dengan Jusuh. Turut mengekori Jusuh, dua orang pengawal berpakaian seragam biru. Di pinggang masing-masing tersisip sepucuk pistol jenis Walter Brown. Seorang berkumis dengan wajah bengis, seorang lagi lebih muda daripadanya berkaca mata. Masing-masing berjalan dalam keadaan tunduk.

"mak-mak encik, tuan haji nak berjumpa," jelas Taib sebaik sahaja menemui Hjh Azizah,Hjh Sharifah dan Hjh Sakinah yang sibuk menyiapkan hidangan makan malam di dapur.

"ada apa ribut-ribut senja begini?" rungut Hjh Azizah, isteri Haji Malim yang tua.

"saya kurang periksa," Balas Taib pendek.

Hjh Azizah, Hjh Sharifah dan Hjh Sakinah berceloteh panjang, kemudian beriringan menuju ke tangga untuk ke tingkat atas. Taib hanya mengekori dengan akur. Setibanya di atas, terjadilah satu perkumpulan yang besar pada petang itu.

Perkumpulan ini begini belum pernah dialami oleh Taib setelah bekerja di rumah besar itu selama lima tahun. Begitu juga Jusuh, dua pengawal dan tiga orang isteri Haji Malim. Jusuh, Taib dan dua orang pengawal berdiri berhampiran dengan Haji Malim, manakala ketiga-tiga isterinya pula duduk dengan tertib di suatu penjuru.

"kenapa wak lepaskan budak hitam itu masuk!'' tanya Haji Malim tanpa bertangguh kepada pengawal yang berkumis.

''mustahil budak sebesar itu awak tak nampak. Sia-sia saja aku bayar gaji.'' Herdik Haji Malim.

''sumpah, lillah....'' pengawal itu mempertahankan dirinya.

''sakinah awak tahu bagaimana ini perkara ini boleh terjadi?''

''abang haji, kami bertiga tidak nampak kerana berada di dapur sepanjang masa.''

''memang benar kata adik sakinah itu,'' Hjh Sharifah membela.

Jusuh, Taib, kedua-dua pengawal dan ketiga-tiga isteri Haji Malim terus membisu. Tiada upaya mereka menyakinkan Haji Malim tentang keadaan itu sebenarnya.

''aku sungguh aib kerana perbuatan budak hitam itu. Aku beri sedekah seratus ringgit dia tak mahu terima. Dia mati-mati mahu hidangan yang disediakan oleh ketiga-tiga isteri aku. Ini melampau.....!'' cerita Haji Malim sambil merenungi ke wajah isteri-isterinya.

''abang haji sudahla tu. Budak hitam itu pun dah pergi. Jangan marah-marah lagi.'' Pujuk Hjh Azizah.

Kemarahan Haji Malim tamat begitu sahaja kerana suara azan Maghrib berkumandang. Sememangnya menjadi kelaziman di banglo Haji Malim, semua orang mesti bersolat bila tiba waktunya.

Selesai solat, Haji Malim terasa lesu sekali. Lalu dia berbanting di atas sejadah yang terhampar di kamarnya. Dia tidur nyeyak, sehingga dengkurnya terdengar dari luar.

''hei manusia, kenapa kamu angkuh sekali?'' Haji Malim terdengar satu suara sayup-sayup mengherdiknya.

''siapa kau?! Aku hajilah, berbahasalah sikit!'' Haji Malim membalas. Dia merenung orang yang mengherdiknya. Wajah orang itu suci bersih. Dia berjubah putih dan senyumannya tiada putus-putus.

''kamu tiada bezanya dengan aku. Kamu makhluk Allah. Aku pun begitu.''

''aku haji, aku tinggal di Bukit Kaya. Kawasan orang ternama.''

''tapi kamu tidak bernama.''

''aku?'' Haji Malim menunding jarinya ke badannya. ''nama aku Haji Malim. Malim pilot.''

''tapi perbuatanmu tidak seperti haji. Kamu herdik babu-babu kamu seperti haiwan. Kamu layan tetamu dengan tidak sewajarnya.''

''mereka tu bebal, bodoh, dungu. Budak hitam yang datang siang tadi, aku tidak undang. Dia degil, dia bukan mahu wang tapi mahu makan makanan yang dihidangkan oleh isteri-isteri aku.''

''kenapa kamu tidak menurut kehendak dia?''

''dia comot. Pakaian dia compang-camping, tak layak dia makan sehidang dengan isteri-isteriku yang manis,'' hujah Haji Malim.

Wajah budak hitam itu menjelma di hadapan Haji Malim. Dia sedang menggamit Haji Malim dengan muka yang manis sekali. Selesai sahaja berbicara, Haji Malim menggeleng-gelengkan kepalanya berulang kali. Senyuman budak hitam itu tiada juga lekang dari celah bibirnya. Wajahnya semakin berseri. Ia mencuit hati kecil Haji Malim.

''kamu sungguh bakhil. Sepinggan nasi pun kamu tak upaya sedekah kepada seorang kanak-kanak.''

''tidak! Aku selalu bersedekah. Aku selalu menderma kepada yang susah dan miskin.''

''sedekah kamu tidak ikhlas. Kamu menolong bila mereka datang merayu saja. Orang kaya seperti kamu sepatutnya pergi sendiri mansari orang yang susah dan miskin.''

Haji Malim termenung. Kata-kata itu dikajinya dalam-dalam. Haji Malim masih ingat. Deman dari setinggan Kenanga menerima pertolongannya setelah dia datang mengadu, Esah janda anak lima dari Kampung Gelam dan Jali serta Jamil, dua orang anak yatim dari Lembah Hijau, semua senasib dengan Deman.

''tidak cukupkah itu?'' tanya Haji Malim.

''itu tanda kamu bakhil. Kamu tidak mahu bersusah payah.''

''contohnya?''

''pada hari ini, kamu enggan memberi makan kepada seorang budak hitam semata-mata dia comot dan daif. Kamu tidak redha dia makan makanan yang dimasak oleh isteri-isteri kamu.''

''salahkah aku berbuat begitu?''

''apalah ada pada nafsu seorang kanak-kanak yang daif begitu. Kamu sebenarnya bakhil, tidak ingin masakan sedap-sedap dinikmati oleh orang lain, sedangkan kamu sendiri tidak makan. Kamu makan roti sahaja bukan? Kamu sakit jantung bukan.....?''

pertanyaan itu bertalu-talu memukul gendang telinga Haji Malim. Ia menusuk hingga ke hulu hatinya. Lidahnya kelu. Fikirannya buntu.

''kamu betul-betul bakhil. Tidakkah kamu tahu memberi makanan pada orang yang lapar, balasannya syurga?''

''syurga!''
''syurga!''
''syurga!''

Haji Malim bertempek berulang kali. Dia mendepa kedua belah tangannya cuba mencapai sesuatu. Ia seolah-olah dahan pokok yang rendang dengan buah yang lebat dan ranum. Apabila kedua belah tangannya tercapai, dahan itu serkah tiba-tiba dan menerbitkan bunyi yang kuat seperti penahan petir. Haji Malim langsung jatuh bersama-sama dahan itu ke dalam kolam air yang berasap. Ketika kakinya mencecah, air itu terasa amat dingin. Kemudian ia terasa semakin lama semakin panas. Berbahang. Haji Malim cuba berpaut semula pada dahan yang serkah itu, tetapi malang dahan dan pokok yang berbuah ranum itu sudah hilang dari pandangannya. Kolam air itu pun telah bertukar menjadi sebuah kolam yang luas idak bertepi.

''tolong!!''
''tolong!!'' teriak Haji Malim.

Setelah tersedar dari tidur Haji Malim merasai sungguh aneh. Seluruh badanya basah kuyup. Ketiga-tiga isterinya sudah berda di sisinya. Cemas.

''abang haji mengigau tadi?'' tanya Hjh Sakinah lembut.

''mana Jusuh, mana Taib, mana pengawal-pengawal di luar? Mana mereka?!''

''sabar abang haji....'' pujuk Hjh Sharifah, tersedu.

''mana mereka? Aku mahu mereka cari budak hitam itu sampai dapat! Aku mahu jumpa budak hitam itu semula!''

Ketiga-tiga isterinya turun ke bahagian bawah mendapatkan Jusuh, Taib dan pengawal di pintu pagar. Tidak berapa lam kemudian, bunyi deru Trooper memecah kesunyian senja turun dari puncak Bukit Kaya meninggalkan Haji Malim yang sedang dibungkus rasa gelisah.

Jusuh yang memandu Trooper itu memecut selaju mungkin. Dia igin mempercepatkan misi memburu si budak hitam yang berada entah di mana.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...