Tuesday, December 14, 2010

Amal baik dan buruk

Amal yang baik atau makruf pada asasnya adalah perkara wajib atau sunat, apabila dilakukan akan mendapat ganjaran pahala disisi Allah SWT. Amal yang buruk atau mungkar pada asasnya adalah perkara yang haram atau syubhah apabila, apabila dilakukan akan mendapat balasan dosa dari Allah SWT. Bukan semua amal makruf akan mendapat ganjaran pahala dan bukan semua perbutan mungkar itu mendapat mendapat balasan dosa.. Kebanyakan orang akan menyangka segala amal yang baik itu mendatangkan pahala dan sebaliknya yang jahat itu mendatangkan dosa. Ini adalah asasnya, tetapi jika didalaminya ternyata ianya amat berbeza dari kacamata Islam.

Sesuatu perbuatan baik itu belum tentu dapat ganjaran dari Allah SWT sekiranya ia tidak dilaksanakan tanpa ilmu dan ikhlas. Bak kata Imam Al-Ghazali: "Rugi jika seseorang itu tiada beramal dan rugi orang yang beramal tiada berilmu dan rugi orang beramal dengan ilmunya tetapi tidak ikhlas". Untuk menjadikan amal kita itu diterima Allah kita mestilah belajar dengan guru yang shahih ilmunya. Adab seseorang yang menuntut ilmu itu mestilah ada kesungguhan untuk menuntut ilmu, bertujuan untuk amalah diri sendiri, keluarga dan juga sahabat. Tidak boleh belajar ilmu agama bertujuan supaya kita disegani, dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat. Niat yang benar adalah kerana Allah.

Allah yang memerintahkan kita supaya menuntut ilmu. Hadith Rasulullah SAW bermaksud: "Menuntut ilmu itu fardhu (wajib) keatas setiap muslimin dan muslimat". Kita dituntut supaya berilmu supaya amal perbuatan kita berlandaskan ilmu dan bukannya hanya mengikut orang lain dengan cara meniru perbuatannya tanpa kita belajar. Suatu amalan yang meniru perbuatan orang khususnya ibadat adalah tidak diterima Allah, umpamanya sembahyang, kita tidak pernah belajar tentang kafiat, rukun, syarat dan sah atau batalnya sembahyang itu, sembahyang kita tidak sah dari syari'atnya dan perbuatan kita hanya sia-sia kerana Allah tidak menerima amalan kita itu walaupun kita ikhlas melakukannya. Selain dari ilmu kita juga mestilah mengikhlaskan segala perbuatan kita tanpa dicampur adukkan dengan tujuan yang lain selain keran Allah. Disini ternyata bukan semua amalan baik diterima Allah.

Ilmu yang wajib dituntut itu adalah ilmu fardhu 'ain, seperti sembahyang, puasa, dan haji. Jika kita mempunyai ilmu feqah sehingga mampu mengeluarkan fatwa tetapi kita tidak mempelajari ilmu tauhid, amalan kita juga tertolak. Tauhid adalah amat penting dalam agama kerana tanpa tauhid seseorang itu boleh tersilap i'tiqad dan boleh menjadi murtad. Tauhid juga menjadikan kita ikhlas kerana jika benar-benar mengenal sifat-sifat Allah, kita akan dapati Allah sentiasa memerhatikan segala perbuatan, percakapan dan segala yang terlintas dihati kita, dari sini timbulnya rasa taqwa kepada Allah.

Dalam Ihya`ulumiddin karya Imam Al-Ghazali menyatakan Ilmu tasauf (yang merangkumi ilmu tauhid) adalah ilmu yang terpenting untuk kita pelajari selain ilmu feqah, hadith dan Quran. Ilmu tasawuf menjelaskan tentang hati, nafsu, i'tiqad, keikhlasan dan keyakinan kita terhadap Allah, ia juga menjelaskan cara untuk mengesan penyakit hati kita, mengubati hati, mengawal nafsu dan melahirkan ikhlas. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Dalam badan manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah keseluruhan badan kita dan jika buruk daging itu maka buruklah keseluruhannya, seketul daging tadi adalah hati".

Melakukan perkara mungkar atau maksiat secara umumnya adalah menyebabkan dosa, tetapi tidak kesemua yang melakukan maksiat itu berdosa kecuali mereka dengan sengaja serta mengentahui bahwa yang mereka lakukan itu haram atau berdosa, Allah tidak akan menyiksa seseorang yang melakukan maksiat itu kerana kejahilannya, atau kerana terpaksa atau tidak sengaja. Allah Maha Adil. Ada orang berpendapat tidak perlu belajar agama kerana bila tidak tahu tidak berdosa. Tetapi sebenarnya membiarkan diri dalam kejahilan pun adalah berdosa selagi tidak belajar. Mahukan kita berdosa seumur hidup kerana semata-mata tidak mahu belajar agama???

Segala penentuan adalah milik Allah dalam menentukan siapakan yang akan dapat pahala dan siapa pula yang dapat dosa. Adalah tidak menjadi kewajipan kepada Allah untuk memasukkan kepada orang yang banyak beribadat kedalam Syurga dan begitu juga sebaliknya. Akan tetapi perlu diingat Allah Maha Adil dan tidak memungkiri janji. Masuk Syurga bukan kerana amalan, tetapi dengan rahmat Allah. Allah merahmati orang yang taat serta beribadat ikhlas kerana-Nya, jadi rahmat-Nya lah yang menjadi penentu masuk syurga atau neraka.


Renungilah kata-kata hikmat dari mereka..

Berkata Ibnu Atho'illah: "Dosa yang menyebabkan taubat lebih baik dari taat yang menimbulkan ujub (sombong)".

Berkata seorang ahli sufi, Rabi'atul Adawiyah, : "Aku beribadat kepada Allah bukan kerana berkehendakkan syurga dan meninggal perkara mungkar bukan pula kerana aku takutkan neraka, tetapi semua yang ku lakukan itu kerana aku terlalu cinta dan rindu kepada Allah SWT"

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...