Friday, November 5, 2010

Mohan rasa diperhatikan

Oleh ZUARIDA MOHYIN
Sumber: Utusan Malaysia


SANGKAAN awal penulis bahawa sebab utama Muhammad Mohan Nallathamby, 27 memeluk agama Islam adalah kerana berkahwin dengan wanita Islam, rupa-rupanya meleset.

Semuanya terbongkar selepas penulis bertemu dengan pasangan muda ini yang baru melangsungkan perkahwinan mereka pada 22 Ogos lalu.

Cerita Mohan, minat beliau kepada Islam bermula semenjak sekolah rendah, iaitu ketika di darjah tiga di Sekolah Rendah Kebangsaan Kuala Ampang Satu, Ampang, Selangor.

``Saya masih ingat lagi apabila ustazah kelas agama menolak permintaan saya untuk berada di kelas agama kendaliannya.

``Namun, saya terus memujuknya, sehinggalah sampai satu peringkat, beliau membenarkan apabila melihat sikap saya yang begitu mendesak.

``Bermula dari saat itulah, saya bersama teman-teman sekelas yang beragama Islam mengikuti segala yang diajarkan oleh ustazah berkenaan.

``Saya cukup tertarik dengan kisah-kisah perihal nabi-nabi. Malah saya akan pergi ke perpustakaan dan membaca buku-buku agama, terutamanya cerita tentang syurga dan neraka.

``Satu persoalan yang sentiasa berlegar di dalam ingatan saya waktu itu, ialah berkaitan orang kafir dan neraka jahanam,'' terang Mohan membongkar sejarah silam 18 tahun lalu.

Minat yang ditunjukkan Mohan tidak seperti hangat-hangat tahi ayam, ia berterusan hingga ke peringkat sekolah menengah di mana beliau bertekad untuk memeluk agama Islam, walaupun terpaksa berhadapan dengan tentangan keras daripada keluarga yang boleh dikatakan penganut agama Hindu yang setia.

Hasrat beliau ini disuarakan kepada seorang teman yang juga seorang sami Hindu. Kata-kata temannya itu agar beliau mengkaji juga agama anutan turun-temurun keluarga, membuatkan Mohan memendamkan dahulu hasrat untuk bertukar agama dan mula mengkaji lebih mendalam agama yang diterima daripada ibu bapanya.

``Dalam tempoh kajian tersebut saya dapati agama Islam dengan agama asal cukup jauh berbeza. Islam adalah satu-satunya agama yang syumul.

``Amalan dan ajaran Islam begitu lengkap serta sesuai dengan fitrah manusia. Buktinya juga jelas diterangkan di dalam kitab al-Quran dan hadis,'' kata Mohan, semenjak tahun 1999 pintu hatinya terbuka kepada Islam dan tidak pada mana-mana agama yang lain.

Menurutnya, sungguhpun tekadnya sudah bulat untuk memeluk agama Islam, namun perancangan untuk pengIslaman, masih kabur perjalanannya.

Ini kerana kata Mohan, beliau tidak mahu dicop orang sebagai Muslim kerana berkahwin ataupun berkepentingan tertentu.

Hakikatnya, Pegawai Perhubungan di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka ini, mengakui masih terlalu banyak persoalan terutamanya berkaitan akidah Islam, belum bertapak kukuh di hatinya.

Malah beliau juga sedikit kecewa dengan kecetekan ilmu penganut Islam sendiri apabila diminta memberikan penjelasan.

Namun akui Mohan, pertemuannya dengan Abang Ramli merupakan titik tolak yang membawa kepada peristiwa pengIslamannya.

Kisahnya bermula sewaktu beliau ditugaskan ke Melaka oleh syarikat tempatnya bekerja selama sebulan.

Perkenalan dengan Abang Ramli adalah secara kebetulan. Ia terjadi selepas Mohan berhenti di rumah Abang Ramli dengan niat meminta segelas air untuk membasahkan tekak yang kering. Mohan menyifatkan beliau sebagai seorang yang peramah.

Rupa-rupanya, pertemuan pada bulan Julai tahun lalu itu berlarutan dengan borak yang panjang.

Menyedari Abang Ramli memiliki pengetahuan Islam yang mendalam, walaupun tidak bergelar tokoh agama, Mohan mengambil kesempatan bertanya pelbagai persoalan yang selama ini masih bercelaru di fikirannya.

Pertemuan selama empat jam itu, benar-benar menginsafkan Mohan dan tanpa disedari beliau menitiskan air mata gembira kerana persoalan yang selama ini dicari-cari terjawab di teratak Abang Ramli.

Akhirnya Mohan mengucap dua kalimah syahadah secara tidak formal.

``Sejak detik itu, saya merasakan seperti mempunyai agama dan hidup ini bagai ada yang memerhatikan. Kehidupan saya benar-benar berubah.

``Kalau dahulu, hidup saya tidak ada landasan tertentu, hanya mengikut firasat sahaja. Malah persepsi saya dahulu, tidak perlu ikut agama untuk menjadi baik. Kini setelah Islam hadir dalam sanubari, pemikiran dan cara hidup saya menjadi lebih jelas dan bermakna,'' kata Mohan yang melafazkan syahadah secara formal pada 30 Disember tahun lalu di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Sepanjang sesi wawancara tersebut Mohan turut ditemani isterinya, Sabihah Salleh, 27 tahun. Menurut Sabihah yang berasal dari Hulu Langat, Selangor, tingkah laku Mohan yang peramah dan minat mendalam terhadap Islam yang ditunjukkan Mohan, telah meyakinkan dirinya bahawa suatu hari nanti Mohan akan memeluk agama Islam, cuma beliau tidak tahu bila tibanya hidayah Allah s.w.t. itu

``Saya mengenali Mohan pada tahun 2001. Persahabatan waktu itu, atas dasar teman sepejabat dan tidak ada niat hingga ke jinjang pelamin kerana sebab yang paling nyata, kami berlainan agama.

``Apa yang mampu saya lakukan ialah bersabar kerana saya tidak mahu paksa dia pada saat dirinya belum benar-benar bersedia. Lagipun Mohan merupakan seorang yang begitu teliti dengan setiap jawapan yang diperoleh,'' celah Sabihah yang menghadiahkan buku berjudul, Law of The Light dengan niat membantu Mohan untuk lebih mudah mengenali agama Islam.

Menceritakan reaksi keluarga kandung, kata Mohan, pengIslamannya memang telah diduga oleh ahli keluarga.

Menurut anak bongsu daripada tiga orang adik beradik ini, semenjak kecil lagi beliau sudah menampakkan kedegilan dengan melakukan larangan-larangan yang sepatutnya dipatuhi oleh seorang penganut agama Hindu. Sikapnya ini sehingga Mohan dianggap sebagai anak yang degil.

Menjawab cabaran yang dilalui selepas bergelar Muslim akui Mohan, meskipun dari segi akidah sedikit sebanyak telah jelas, namun untuk mempraktikkannya juga perlu kepada ilmu bukannya secara semberono.

``Kalau baru-baru dulu ada sahaja alasan saya untuk tidak melakukan sesuatu ibadat, tetapi setelah melakukannya dengan penuh khusyuk dan tawaduk, dari situ barulah datang kenikmatan dan keinsafannya,'' kata Mohan yang menyimpan cita-cita untuk bergelar seorang pendakwah suatu hari nanti.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...