Saturday, October 30, 2010

Senjata mukmin

Oleh ZUARIDA MOHYIN
Sumber: Utusan Malaysia

KEPERITAN hidup yang dilalui oleh ibu muda ini boleh diumpamakan sudah jatuh ditimpa tangga. Apa tidaknya, ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta dan kasih sayang, disangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Mahligai yang dibina bersama Affandi Manhanlel Abdullah pada penghujung tahun 1990 cuma bertahan selama lima tahun apabila Allah s.w.t. mentakdirkan beliau pergi buat selama-lamanya, meninggalkan tiga orang zuriat yang masih terlalu kecil untuk memahami erti kehidupan sebenar.

Afizah Lee Abdullah yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor, baru berusia 24 tahun pada masa itu. Sudahlah kehilangan tempat bergantung, kini terpaksa pula keluar dari rumah keluarga mentua kerana alasan, kematian anak lelaki mereka bermakna hubungan dengan menantu dan cucu juga terputus.

``Hendak mengadu dengan keluarga kandung, mereka telah lama menyingkirkan saya semenjak saya memeluk agama Islam, malah perkahwinan saya dengan suami, yang juga seorang saudara baru lebih menyemarakkan api kemarahan mereka.

``Pernah juga mereka menyuarakan kesanggupan menerima saya tetapi bersyarat, iaitu tidak mahu menerima anak-anak saya. Ibu mana yang sanggup berpisah dengan darah daging mereka sendiri. Apatah lagi, kesemua mereka baru berusia empat, tiga dan dua tahun,'' cerita Afizah, 33, yang tidak dapat menahan sebak, mengenang kembali peristiwa yang sehingga kini terpahat kukuh di dalam diari kehidupannya.

Tambah anak kedua daripada lima adik-beradik ini, biarpun satu demi satu dugaan melanda, alhamdulillah kekuatan yang Allah s.w.t. kurniakan kepadanya memang diharapkan oleh setiap hamba-Nya yang lemah.

Akui guru bahasa Mandarin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Min, Sungai Besar ini lagi, sokongan padu daripada saudara sesama Islam yang turut bersimpati dengan nasib Afizah anak-beranak ini, telah mengubah Afizah daripada seorang yang mudah berputus asa kepada seorang yang lebih tabah dan sabar.

``Saya hilang punca sebaik sahaja keluar dari rumah mentua. Fikiran saya buntu. Di manalah hendak saya tuju dan bagaimanalah masa depan anak-anak. Saya terus ke Pejabat Agama Islam Sungai Besar mengadu hal.

``Mereka tempatkan kami sekeluarga di sebuah rumah yang dibiarkan tuannya. Biarpun sudah ada tempat berteduh, apa pula yang hendak saya sajikan pada anak-anak sedangkan saya tidak bekerja.

``Pada masa itulah, Mohamad Rosli Abu dan isterinya, Sabariah Murni datang menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan balasan walau sesenpun. Insan berhati mulia ini telah mengambil ketiga-tiga anak-anak saya untuk dijadikan anak angkat mereka sehinggalah hari ini,'' cerita Afizah yang hanya mampu berdoa ke atas kesejahteraan mereka yang telah banyak membantunya terutamanya di kejiranan Taman Padu Permai, tempat beliau anak-beranak berteduh hinggalah hari ini.

Mengimbau kisah silam perjalanan pengIslamannya, kata Afizah yang baru tamat mengikuti pengajian peringkat diploma di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban, pengetahuan tentang agama Islam bermula sewaktu beliau di sekolah menengah.

``Saya satu-satunya pelajar berbangsa Cina di dalam kelas. Jadi apabila tiba kelas agama, guru menyuruh saya keluar tetapi saya curi-curi masuk melalui pintu belakang.

``Bermula dari situlah, saya dapati agama Islam ini berbeza dengan agama Buddha yang menjadi anutan kami sekeluarga. Pun begitu, ia hanya tertera di kad pengenalan.

``Saya pernah bermimpi dihimpit satu lembaga besar tetapi telah diselamatkan oleh seorang lelaki yang berjubah putih. Apabila tersedar, terpacul laungan takbir dan dalam masa yang sama saya dengar azan Subuh,'' cerita Afizah selepas insiden pelik itu, perasaannya untuk mendalami agama Islam semakin membuak-buak.

Tambahnya, selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau berhijrah ke Pulau Pinang dan bekerja di kilang membuat tali. Dari situ, pengkajian Afizah tentang agama Islam diteruskan dan beliau banyak mendapat maklumat berkaitan melalui buku-buku yang dibeli serta teman-teman.

Kalimah Syahadah

Lantaran itu, tanpa ditemani sesiapa, Afizah ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), cawangan Bukit Mertajam, melafazkan kalimah syahadah pada usia 19 tahu, seterusnya tidak lagi menggunakan nama Lee Bok Kuan.

Kongsi Afizah lagi, lokasi negeri yang terkenal dengan gelaran Pulau Mutiara inilah menjadi tempat beliau dan Affandi disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah.

``Arwah suami merupakan seorang peniaga kain di pasar malam Permatang Pauh. Memandangkan suami juga anak kelahiran Sungai Besar, jadi kami mengambil keputusan pulang ke kampung tidak lama selepas berkahwin dan tinggal dengan keluarga kandung suami.

``Selama lima tahun itu, kehidupan kami cukup bahagia ditambah dengan kehadiran 3 cahaya mata perempuan,'' kata ibu kepada Afifah, 14, Afilah Shabela, 13 dan Afidha, 12 tahun.

Pengalaman bergelar ibu tunggal tanpa sebarang harta dan pekerjaan cukup memeritkan, kata Afizah. Sungguhpun wujud sekelumit rasa putus asa, namun baginya, kalau kembali kepada agama asalpun, kehidupan mereka empat beranak juga tiada jaminan.

`Langit tidak selalu mendung', akhirnya Afizah mendapat pekerjaan sebagai guru sandaran. Sikap dingin keluarga, bukannya melemahkan semangat ibu muda ini tetapi menurut beliau, dari situlah datangnya keyakinan untuk membuktikan dirinya mampu berjaya.

``Bagi saya Allah s.w.t. sentiasa bersama orang-orang yang benar. Lebih kita mendekatkan diri dan mengingati-Nya, Allah s.w.t. lebih hampir di sisi hamba-Nya.

``Lantas itu, saya tidak menoleh ke belakang. Hidup mesti diteruskan. Saya berusaha mencari mereka yang lebih arif berkaitan agama dan sentiasa merujuk dan mendapat khidmat nasihat daripada mereka.

``Janganlah kita memeluk Islam dengan niat yang tidak ikhlas atau mencari kepentingan tertentu. Apabila kita sudah mengakui, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, maka penghayatan itu kena ada, barulah dapat merasakan kenikmatan di sebalik dugaan-Nya,'' kata Afizah yang sentiasa berpegang kepada ayat al-Quran dalam surah Yusuf ayat 87 bermaksud: Hai anak-anakku,pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.

Pesan Afizah, senjata mukmin ialah doa maka sentiasa berdoa meminta daripada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani, berfikiran panjang dan tidak membuat keputusan terburu-buru.

Selain itu, berusaha memantapkan lagi ilmu di dada sama ada melalui buku-buku ataupun guru-guru yang betul. Menjadi amalan Afizah mencari ketenangan dengan banyak melakukan solat sunat tengah malam.

Berkat kesabarannya juga, kini keluarga kandung Afizah telah menerima beliau kembali. Lebih-lebih lagi, selepas beliau menjaga arwah bapanya yang mengalami kemalangan sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir.

``Ibu bapa pernah mengucapkan, anak yang degil inilah yang paling banyak berkorban untuk keluarga,'' kata Afizah yang juga merupakan penterjemah buku berjudul, 99 Nama Allah Yang Termasyhur karangan Talib Samat ke dalam bahasa Mandarin. Buku ini dalam proses penerbitan Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...