Saturday, October 30, 2010

Mohamed Colin - Tiada kesangsian terhadap al-Quran

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Sumber: Utusan Malaysia


``IKAN di laut, asam di darat, dalam periuk bikin muafakat'', peribahasa yang dilagukan melalui sebuah iklan televisyen yang cukup popular, terutamanya sepanjang musim raya ini. Iklan ini menceritakan kisah persahabatan dua orang kanak-kanak India dan Melayu yang terjalin semula dalam satu suasana yang cukup menyentuh perasaan, iaitu dalam kesibukan mereka meraikan hari kebesaran agama masing-masing.

Bagaimanapun kisah yang akan ditonjolkan kali ini tidaklah berkisar sepenuhnya seperti di atas tetapi kisah perkahwinan pasangan Mohamed Colin Rahim Abdullah, 50, dengan isterinya, Norhashimah Hassan, 40, sesuai dengan peribahasa di atas.

Kisah perkahwinan pasangan yang kini dikurniakan sepasang cahaya mata, Mohamed Danial Rahim Bargioni, 5 dan Sonia Rahim Bargioni, 2 tahun ini, membuktikan perbezaan latar belakang terutamanya dari aspek budaya, agama dan bahasa sebenarnya bukan menjadi halangan utama, malah mereka disatukan atas nama agama Islam. Tambahan pula, soal jodoh pertemuan dan ajal maut adalah ketentuan Tuhan.

Perjalanan pengIslaman Colin Peter Bargioni (nama sebelum Islam) diakuinya bermula apabila pemuda berasal dari Hornsey-Lane Garden, Highgate, London ini mula bekerja di Malaysia kerana di sinilah beliau mengenali budaya berbilang bangsa rakyat Malaysia, agama Islam dan erti cinta.

Bergelar arkitek bertauliah, Colin menerima tawaran bekerja dari sebuah syarikat besar yang sedang mengendalikan projek mega di Kuala Lumpur, iaitu KL MegaMall dan Lapangan Terbang KLIA. Biarpun terpaksa merentasi lautan luas dan perjalanan ribuan batu jaraknya, Colin akur demi mengejar cabaran kerjaya.

``Setibanya di Malaysia, memori Kota London, tempat di mana saya dilahirkan dan dibesarkan, lenyap seketika. Melangkah keluar dari kapal terbang, hati saya sudah terpikat dan jatuh cinta dengan kehangatan dan keharmonian pelbagai kaum yang ada di Malaysia. Tambahan pula, suasana di tempat kerja juga berjalan lancar, lebih-lebih lagi berkenalan dengan Khuzairi dan Zainam, rakan sekerja yang begitu mesra,'' cerita Colin yang dihubungi melalui e-mel.

Kata anak bongsu daripada dua orang adik-beradik ini lagi, Zainam banyak menerangkan kepadanya persoalan berkaitan agama Islam kerana semenjak memulakan perkhidmatan di sini, iaitu pada tahun 1996, beliau baru mengetahui kewujudan agama Islam dek kerana ia tidak pernah diajarkan kepadanya semasa zaman persekolahan dahulu.

``Khuzairi pula lebih berminat mencarikan jodoh buat saya, memandangkan usia saya pada masa itu sudah melewati angka 40 dan masih solo. Namun saya yakin akan muncul seorang gadis, cuma tidak tahu siapa dan bila. Khuzairi memperkenalkan saya kepada Shima yang juga berkerja di pejabat yang sama. Selepas beberapa kali keluar bersama, saya menerima hakikat yang hati saya sudah ditawan olehnya dan kami mengambil keputusan untuk berkahwin,'' kata Colin yang harus menukar agamanya sekiranya beliau hendak meneruskan hasrat untuk berkahwin.

Walau bagaimanapun akui Colin, beliau kagum dengan ketaatan Shima terhadap agamanya kerana kerap melihat Shima melaksanakan solat apabila masuk waktunya dan Shima sudah dua kali ke Mekah menunaikan haji dan umrah. Selain itu juga, Colin akui, beliau terpegun kerana di dalam Islam juga menyembah Allah, yang menurutnya sama dengan Tuhan dalam agamanya sebelum ini, agama Kristian. Namun di dalam Islam kitab al-Quran menjadi panduan utama kepada umatnya berbanding agama lamanya, Bible.

``Lantaran itu, saya mengambil keputusan belajar dahulu tentang agama Islam. Saya tidak mahu bertukar kepercayaan semata-mata untuk berkahwin. Saya mahu pengetahuan Islam sebati dan saya benar-benar yakin dengan pegangan agama baru ini. Selepas mengikuti kelas-kelas agama Islam di bawah kendalian Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), saya tertarik melalui pembacaan dan pengkajian lebih-lebih lagi tentang al-Quran.

``Malah ceramah yang disampaikan oleh Dr. Yahaya begitu mengasyikkan saya dan membuka minda ini akan kebenaran yang dibawa oleh syiar Islam,'' kata Colin yang akhirnya mengucap dua kalimah syahadah pada tahun 1997 selepas mendalami lagi al-Quran dan pertemuan beliau dengan surah Qaf ayat 22 yang bermaksud: Sesungguhnya kamu berada di dalam keadaan lalai daripada (hal) ini, maka Kami singkapkan daripadamu tutup (yang menutupi) matamu, maka penglihatanmu pada hari itu amat tajam, telah melengkapkan lagi keyakinan beliau.

Di samping itu tegas Colin, apa yang benar-benar mengikatnya dengan Islam adalah kitab suci al-Quran. Persoalan ketepatan dan kesahihan tentang Bible sentiasa dipertikaikan sehingga hari ini. Namun, setiap inci ayat al-Quran tidak timbul kesangsian kerana ia benar-benar diturunkan daripada Allah s.w.t. kepada semua umat manusia.

Pasangan ini akhirnya mendirikan rumah tangga sebelum kontrak kerja Colin tamat iaitu pada tahun 1998. Apabila tamat sahaja kontrak, mereka berdua pulang ke London dan tinggal dengan keluarga kandungnya.

Akui Colin, di London penghayatan Islam di sana jauh berbeza dengan di Malaysia yang lebih terbuka. Pada saat inilah, kata Colin, kebenaran kata-kata teman-teman sekerjanya yang pernah belajar di United Kingdom terbukti, iaitu bukan sahaja soal agama tidak dibincangkan dalam kehidupan seharian di sini, malah nilai-nilai moral yang berbentuk liberal diterima di Barat sehinggakan yang tidak elok pun mudah diterima ramai. Walau bagaimanapun katanya, beliau turut mempunyai beberapa kenalan perniagaan yang beragama Islam di London dan sedang berusaha membawa mereka dalam lingkungan sosialnya.

``Pun begitu, saya dan isteri bercadang untuk pulang ke Kuala Lumpur insya-Allah pada tahun hadapan. Malah saya berharap akan mendapatkan kerja baru di Malaysia. Shima begitu berharap kerana memikirkan anak-anak yang semakin meningkat dewasa. Sekurang-kurangnya di Malaysia, suasana Islamnya lebih jelas dan pendidikan agama lebih mudah diperoleh serta dicontohi. Tambahan pula, keluarga dan sanak saudara sebelah isteri memang menanti dan mengharapkan kepulangan kami empat beranak,'' kata Colin.

Menjawab reaksi keluarga dan teman-teman, lumrah ibu bapanya terkejut pada awalnya apabila anak kesayangan mereka bukan sahaja berkahwin dengan orang asing, malah turut bertukar agama. Namun sikap mereka yang terbuka memudahkan lagi proses penyesuaian antara dua bangsa yang berbeza. Walau bagaimanapun, pertukaran agamanya telah memberi kesan terutamanya kepada teman-teman sekerja semasa pembinaan projek KLIA.

``Mereka sibuk dengan keseronokan duniawi seperti minum arak, merokok dan melupakan agama tetapi saya bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana telah menunjukkan jalan yang benar dan jalan yang diredhai, bukan jalan menuju kesesatan,'' kata Colin.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...