Friday, October 1, 2010

MANTAP IMAN UMMAH CEMERLANG

Khutbah Jumaat 6/2/2009

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

"MANTAP IMAN UMMAH CEMERLANG"
(06 Februari 2009 / 10 Safar 1430H)


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang
dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT
dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan
menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan
hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan
khutbah bertajuk: "MANTAP IMAN UMMAH CEMERLANG".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Iman adalah nikmat yang paling berharga kurniaan Allah SWT dan
menjadi penentu kebahagiaan hidup di dunia dan kesejahteraan di
akhirat. Tanpa iman segala amalan kita semasa di dunia menjadi sia-
sia dan berakhir dengan balasan seksa. Oleh kerana pentingnya iman
dalam diri umat Islam, maka Allah SWT menurunkan wahyu kepada Nabi
SAW di Mekah selama 13 tahun yang menyentuh persoalan iman
sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur'an.

Namun kini, umat Islam semakin terhimpit dengan
permasalahan iman dan paling besar ialah ancaman terhadap akidah
mereka. Apa yang menyedihkan kita ialah kes murtad, maksiat dan lain-
lain kes kekufuran terus berulang dan berterusan. Persoalan besar
timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini
terus berlaku?. Kita jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah
berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:
Maksudnya: "Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan
memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka
membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah
ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin
yang dita'ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan
kerugian yang terang nyata".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Akhbar atau media pernah melaporkan bahawa terdapat remaja Islam
bertudung terlibat dengan seks bebas dan menjadi ahli kumpulan
nyanyian di rumah ibadat bukan Islam. Semua ini jelas memperlihatkan
betapa akidah umat hari ini semakin rosak akibat ceteknya pengetahuan
agama dan kerapuhan benteng iman. Apa yang sangat mendukacitakan kita
lagi ialah keterlibatan segelintir masyarakat dalam sambutan sempena
Hari Kekasih atau Valentine's Day yang berlaku sejak sekian lama. Ini
adalah sebahagian contoh yang amat membimbangkan kita kerana ia
meyimpang dari ajaran Islam dan melahirkan lebih banyak gejala sosial
seperti perzinaan, rogol dan sebagainya.

Mimbar ingin menegaskan bahawa sambutan Hari Kekasih bagi orang Islam
adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan telah difatwakan haram
oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-71 yang diadakan
pada 22-24 November 2005. Ini samalah dengan kedudukan pengharaman
senaman Yoga yang dibuat akhir tahun lalu. Apa yang nyata, sambutan
Hari Kekasih ini bukan amalan yang disuruh oleh Nabi SAW, para
sahabat, tabiin atau golongan solihin.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Umat Islam perlu sensitif dan bertindak bijak dalam menangani
tindakan segelintir masyarakat kita yang menjadikan hukum Allah SWT
sebagai bahan provokasi atau bahan eksploitasi di pentas syarahan dan
dada-dada media untuk mendapat keuntungan dunia. Sebagai mukmin, kita
bertanggungjawab memelihara, mempromosi dan mempertahankan setiap
inci ajaran agama suci ini. Perlu disedari bahawa sikap tidak peduli
umat Islam bukan sahaja akan merosakan diri sendiri, malah dari segi
dakwah khususnya amat merugikan Islam.

Islam sangat mengambilberat dalam memperbetulkan pegangan akidah
umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur
mereka tentang sesuatu perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut
contoh umat jahiliyah dahulu yang menganggap bahawa iman sekadar
mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik sahaja
sedangkan hakikat iman ialah paduan antara keyakinan dihati tentang
dasar-dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah dan
meninggalkan tegahan-Nya. Ini bermakna kepercayaan tanpa diikuti
dengan amal ibadah, atau tanpa meninggalkan maksiat, maka belum
dikira sempurna iman.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15:
Maksudnya: " Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang
yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-
ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka
pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.".

Ayat ini mengisyaratkan bahawa kualiti iman boleh diukur dan dinilai
melalui amalan seharian. Banyak dan berkualitinya amal soleh
seseorang itu, maka tinggilah kualiti iman yang dimiliki dan
begitulah sebaliknya. Oleh itu, iman yang sebenar adalah merupakan
penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih sayang di antara umatnya,
tetapi hendaklah melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak. Cinta
yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, rasul-Nya dan berjihad di
jalan-Nya. Cinta berlandaskan iman akan melahirkan cahaya keinsafan
kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup berkorban dan
mampu menundukkan hawa nafsu jahat..

Oleh yang demikian, mimbar menyeru semua pihak, marilah sama-sama
kita memperkasakan akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi
masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah berikut:

Pertama: ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik
dengan akidah yang benar dan dihayati;
Kedua: umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau
budaya kaum musyrik;
Ketiga: menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT
dan rasul-Nya;
Keempat: menjauhi aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang
bukan mahram dalam menyambut majlis tertentu; dan
Kelima: meninggalkan sambutan atau perayaan yang tiada dalam
syariat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 214:

Maksudnya: "Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta
bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit
dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan
mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...