Saturday, October 30, 2010

Kuala Lumpur kah yang bersalah?

Julia (Bukan nama sebenar) datang ke Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta. Ibu bapanya dengan berat hati membenarkan anak kesayangannya datang ke ibu negara untuk mencapai cita-cita. Diiringi pemergian si anak dengan doa dan harapan yang menggunung. Tidak lupa perbelanjaan yang lebih dari mencukupi untuk dua tahun Julia di kolej tersebut.

Julia berazam untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memperolehi diploma dalam bidang yang diminatinya. Pada mula, tumpuannya lebih kepada pelajaran. Tiada langsung terlintas di hatinya untuk menghabiskan waktu dengan sia-sia. Namun semuanya berubah apabila dia berkenalan dengan seorang pemuda bernama Amran (Bukan nama sebenar). Julia yang masih naif dengan segala asam garam kehidupan di bandar besar jatuh cinta pada Amran.

Amran cinta pertamanya yang terasa begitu agung pada tika itu. Rasa indah kali pertama jatuh cinta bagaikan membawa Julia ke dunia lain. Tiada lagi buku yang menemani. Hanya Amran yang sering terbayang di matanya. Kelab malam sudah pandai dijejaki. Kerana sayang, wang pemberian ibu bapa dan biasiswa yang ada, habis diserahkan kepada Amran.

Cinta yang menggunung itu juga akhirnya telah meragut ‘mahkota’ yang selama ini dipertahankan. Amran berjanji bertanggungjawab di atas perlakuannya itu. Tetapi janji tinggal janji apabila Amran menghilangkan diri. Julia bagaikan hilang akal. Sudahlah wangnya habis, ‘mahkota’ nya juga kini sudah hilang tanpa bisa diganti lagi. Lebih parah, dia disahkan mengandung kerana ‘cinta agung’ nya itu. Mahu sahaja dia membunuh diri kerana tidak tahu bagaimana harus diselesaikan masalah itu besar itu. Semakin menekan perasaannya, Amran dijumpai mati kerana berlebihan dadah. Barulah Julia tahu bahawa Amran selama ini menagih dadah. Kerana itu Amran kerap meminta duit darinya walaupun mempunyai pekerjaan.

Dunia bagaikan sudah berakhir bagi Julia. Pengajiannya terpaksa digantung kerana prestasi yang sudah tidak memuaskan lagi. Dengan berat hati, Julia pulang ke kampung dengan kandungan yang sudah semakin sarat. Ibunya meraung tidak sudah melihat kepulangan anak kesayangannya. Bapanya hampir sahaja menjadi pembunuh anak sendiri. Julia tidak henti-henti menyesal kerana perbuatannya selama ini.

Kisah seperti ini bukan jarang didengari dalam masyarakat kita. Saban hari ada sahaja cerita sedih sebegini yang boleh kita dengar dan baca. Di manakah salahnya hingga anak-anak gadis kita bertindak bagaikan tidak punyai akal fikiran? Cintakah yang bersalah hingga mereka sanggup mengorbankan diri demi cinta yang konon-kononya terlalu agung, mengalahkan cinta pada Ilahi? Atau kerana Kuala Lumpur yang bagaikan tidak mati kerana penuh pelbagai jenis hiburan?

Cinta tidak pernah menyuruh manusia yang sedang merasainya mengorbankan diri kerananya. Cinta itu indah jika ia dijaga dengan sebaik-baiknya. Cinta itu bukan dosa jika kena pada caranya. Hanya manusia sahaja yang menjadikan cinta itu kepada dosa yang teramat pedih balasannya kelak. Seperti Julia dalam kisah di atas, dia gagal mentafsir erti sebenar cinta. Dia diugut untuk ditinggalkan jika tidak menuruti kemahuan kekasihnya. Kerana sayang (kononnya) dia menuruti kehendak si kekasih walaupun dia sedar perbuatan itu salah dan berdosa besar. Alangkah malangnya jika seorang gadis yang sudah bijak berfikir kalah dengan permainan seorang lelaki seperti itu. Lebih malang jika gadis itu berpendidikan tinggi dan kenal hukum agama yang melarang perbuatan berdosa seperti itu. Kerana takut kehilangan seorang lelaki, sanggup mengorbankan perkara yang paling berharga buat dirinya. Cinta dijadikan alasan kerana mengorbankan diri. Sekali lagi diingatkan, cinta tidak pernah meminta pengorbanan seperti itu. Cinta juga tidak pernah meminta bukti sebegitu.

Cinta itu buta. Benarkah sebegitu sehingga Julia sanggup mengorbankan segala-galanya demi Amran? Cinta tidak pernah mahu dianggap buta. Hanya manusia yang buta hati dalam menilai cinta. Tidak pernah mendahulukan iman dan akal dalam membuat keputusan. Semua yang dilakukan berlandaskan nafsu dengan tiket cinta. Apabila suatu musibah terjadi, sekali lagi cinta dipersalahkan. Cinta itu dosa, cinta itu buta, cinta itu merosakkan manusia. Kasihan cinta. Ianya begitu suci, begitu indah tetapi dipersalahkan di akhirnya.

Bersalahkah bandar raya Kuala Lumpur yang sentiasa tersenyum ini? Bila manusia hilang pertimbangan hingga merosakkan diri, Kuala Lumpur dipersalahkan kerana melalaikan manusia. Kuala Lumpur terlalu dipenuhi hiburan duniawi. Kuala Lumpur sudah terpalit dengan pelbagai dosa yang hitam pekat warnanya. Kuala Lumpur telah merubahkan mereka dari seorang yang sentiasa patuh pada suruhanNya kepada mereka yang alpa dengan segala keseronakan duniawi. Kuala Lumpur yang mengenalkan mereka dengan kelab malam, minuman yang memabukkan dan segala macam lagi kerosakan. Kasihan Kuala Lumpur, dipersalahkan kerana pemikiran dangkal sesetengah insan. Kuala Lumpur tidak pernah minta dijadikan sebegini. Manusia yang menjadikannya penuh dengan pelbagai dosa. Bagaimana wujudnya segala macam kerosakan jika bukan kerana makhluk yang bernama manusia?

Setiap hari ada sahaja pendatang baru ke bandaraya yang tercinta ini. Masing-masing memasang azam untuk berjaya di kota serba mencabar ini. Bukan sedikit yang berjaya dan tidak sedikit juga yang kecundang. Dalam usia yang muda, perasaan dan nafsu kadang kala mengatasi segalanya. Apatah lagi jika tiada iman di dada. Pendidikan agama yang mencukupi pun kadang-kala bukan penjamin hidup tidak terpesong. Apa yang penting, AKAL FIKIRAN yang berlandaskan IMAN menjadi benteng dalam kehidupan ini.

Saya belum sampai pun dua tahun pun hidup di bandaraya ini. Kisah seperti di atas sudah kerap kali saya jumpa. Kasihan, gadis muda yang punyai masa depan cerah akhirnya menjadi seorang yang tidak tentu arah. Semuanya kerana hilang pertimbangan akibat cinta yang kononnya tulus dan suci. Ada juga yang ‘bernasib baik’ kerana tidak mengandung. Tetapi apabila cinta putus di tengah jalan, mereka menjadi semakin liar.

Bagi mereka, diri mereka sudah rosak dan tidak boleh diperbaiki lagi. Lantaran itu, mereka meneruskan kehidupan yang songsang tanpa memikirkan keluarga yang sentiasa mengharapkan mereka jauh dari segala macam noda.

Selalu saya terfikir, apakah yang menjadi pegangan mereka waktu itu? ISLAM hanya pada nama. Pakaian dan cara hidup sudah tidak melambangkan nilai-nilai ISLAM itu sendiri. Solat jauh sekali. Sedih saya melihat rakan-rakan yang terus hanyut sebegitu. Dan apabila kita cuba menegur, kita dikatakan kolot dan terlebih alim. Setakat alasan kubur lain-lain, sudah biasa saya dengar. Aduhai, kenapa sampai begini fikiran mereka.

Pada mereka yang baru-baru hendak belajar bercinta, janganlah jadikan cinta itu yang mengawal kehidupan kalian. Cinta itu hanya satu perasaan indah yang telah Tuhan anugerahkan. Jangan jadikan ia sebagai perosak masa depan kalian sendiri. Bercinta berpada-pada, sentiasa ingat kepada ibu dan ayah yang telah berkorban untuk kalian sejak kecil.

Dan yang paling penting, jangan lebihkan cinta dari segala-galanya. CINTA KEPADA ALLAH itu yang lebih bermakna. Tatkala dilamun cinta itu, berdoalah agar cinta yang disemi ada penghujung yang bermakna. Semoga cinta yang disemi semakin mekar bersama bunga-bunga keberkatan dariNya. Walau di mana pun kalian berada, jagalah diri sebaik-baiknya. Sekali sudah tersasar, bukan mudah untuk kembali ke laluan yang betul. Sentiasalah berdoa kepada YANG ESA agar hidup kalian sentiasa dijauhkan dari perkara-perkara yang bakal merosakkan hidup kalian akhirnya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...