Tuesday, October 19, 2010

Impian

Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga,
Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.

Subhanallah, betapa pentingnya bahasa dalam kehidupan seharian kita. Selain daripada digunakan sebagai medium untuk menyampaikan mesej, bahasa juga boleh diolah, digubah, dikarang, sehingga mampu mengeksploitasi mood, minda, perasaan dan tindakan seseorang.

Bukan sedikit kuasa bahasa. Lihat sahaja karya Shakespear, atau Usman Awang, walaupun telah sekian lama mereka tidak lagi hidup di bumi yang indah ini, namun kuasa bahasa yang telah berjaya mereka cipta, sehingga kini masih terasa kehebatannya. Maha Suci ALLAH..

Dengan izin Allah, saya telah menghadiri kelas terjemahan bahasa lebih kurang 10 kelas. Alhamdulillah. Tenaga pengajar yang 'diimport' dari DBP, UKM, UiTM ternyata hebat-hebat belaka, banyak benda baru yang telah kami pelajari.

Bagi saya, seorang pelajar kejuruteraan yang tiada basis mengenai bahasa, ternyata, pengalaman baru ini benar-benar mengujakan. Saya menikmati kelas terjemahan ini sepenuh hati saya. Saya cintakan bahasa ^_^

Dangkalnya pemikiran saya di zaman sekolah menengah rendah. Walaupun waktu itu, saya benar-benar meminati bidang sastera, saya telah menafikannya lalu memilih aliran sains tulen, kerana waktu itu saya berpendapat, bidang sastera tidak mampu pergi jauh, tidak menjamin masa depan yang cemerlang.

Natijahnya, saya telah menghabiskan masa remaja saya, belajar dalam bidang yang tidak saya minati. Dan kini, saya sudah bergelar seorang jurutera, namun jauh di sudut hati saya, masih tercari hala tuju yang sebenar.

Jiwa saya lebih menyintai bidang bahasa berbanding bidang kejuruteraan, namun saya sudah kehilangan rentak, tidak tahu mahu berhenti dan bermula di mana. Akhirnya, suka atau tidak, saya masih lagi di sini, di bidang ini, kejuruteraan.


Hidup ini mesti diteruskan, tidak semua yang kita inginkan pasti menjadi milik kita.

Ada masanya kita harus belajar menerima kenyataan bahawa ada waktunya, sesuatu benda/perkara itu bukan tercipta untuk kita. Mungkin juga, sesuatu yang kita rasakan baik itu, sebenarnya buruk bagi kita dan sesungguhnya, hanya Allah jualah yang Maha Mengetahui.

Bersyukur dengan apa yang ada adalah penyelesaian yang terbaik agar jiwa ini menjadi lebih tenang. Tidak gelisah. Hidup ini adalah kembara. Ibarat kita memandu sebuah kereta. Sebelum memulakan perjalanan, kita harus merancang dengan baik, memastikan keadaan kereta kita dalam keadaan yang baik dan selamat.

Namun ada masanya, tidak semua yang kita rancang, akan menjadi kenyataan. Ada masanya, jalan yang kita lalui tidak disangka-sangka terjadi kemalangan lalu mengakibatkan lalulintas menjadi sesak. Kita tersepit ditengah-tengah jalan. Stuck.

Ada masanya kita terlepas susur keluar lalu sesat entah ke mana-mana. Yang dekat menjadi jauh. Duit minyak dan duit tol berlipat kali ganda perlu dibayar.

Ada masanya juga kita tiba di suatu persimpangan yang asing bagi kita dan kita terpaksa membuat pilihan dengan kadar yang segera samada untuk ke kanan atau ke kiri. Ada masanya juga kereta kita dilanggar oleh kereta lain yang tidak bertanggungjawab. Kita cuma mampu berputih mata tidak dapat berbuat apa-apa. Naauzubillah..

Hidup ini tidak pernah lepas dari cubaan dan ujian. Maka sebab itulah juga, rukun iman yang ke enam, mewajibkan kita sebagai umat Islam agar yakin dan percaya dengan sepenuh hati kita kepada qada' dan qadar Allah. Kita hanya merancang namun Allah jualah penentu segalanya. Bismillahitawakkaltualallah..

Harus diingatkan juga, fail to plan is plan to fail. Walaupun kita tahu setiap apa yang berlaku, hanya berlaku dengan izin Allah, itu tidak semestinya menjadi alasan kepada kita agar berhenti berusaha dan cukup sekadar memeluk tubuh.

Sesungguhnya, ini adalah konsep tawakal yang bercanggah dalam Islam. Islam menyuruh umatnya berusaha, kemudian barulah bertawakal kepada Allah, itu barulah masa yang tepat untuk kita serahkansegalanya kepada qada' dan qadar Allah.

Sebagai umat Islam juga, kita harus yakin dan percaya, doa adalah senjata utama kita. Berdoalah dan mohonlah kepada Allah dengan hati yang penuh yakin kepada kekuasaan dan keagungan Allah. Berdoalah agar segala usaha kita membuahkan hasil yang positif dan bertawakkallah.

Serahkan segalanya kepada Allah, tidak kira apa yang terjadi, pasrah dan redhalah dengan apa yang terjadi. Semoga kita menjadi hamba Allah yang tekun melaksanakan suruhan Allah, bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang berusaha untuk mencapai redha Allah dan gigih mencapai impian, selari dengan saranan agama kita. Berdoalah dengan hati yang penuh yakin dan gantunglah harapan hanya kepada Allah. Tawakkallah.

Sabar dan redha bukan suatu yang mudah untuk dilakukan, namun hati-hati yang mengtauhidkan Allah dan berpegang teguh kepada rukun iman dan rukun Islam insyaAllah pasti mampu memilikinya. InsyaAllah..

Sumber: iluvislam

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...