Sunday, October 31, 2010

Hidayah6

Oleh ZUARIDA MOHYIN
Sumber: Utusan Malaysia

DARIPADA Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan, ia akan beroleh pahala seperti pahala pengikutnya dengan tidak berkurangan pahala mereka sedikit pun. Sesiapa yang mengajak kepada kejahatan, ia akan mendapat dosa seperti dosa yang mengikutnya tanpa mengurangkan dosa mereka sedikit pun. (Hadis riwayat Muslim)

Penglibatan insan berketurunan Baba Nyonya Melaka ini dalam kerja-kerja sukarela serta dakwah, terutamanya di kalangan mualaf atau saudara baru bukannya bersebab atau mempunyai misi untuk kepentingan peribadi.

Bahkan, bapa kepada dua orang anak ini telah memulakan tugas-tugas kebajikannya dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia atau Perkim dan semakin serius apabila mendapat sokongan daripada Ustaz Amran, Pegawai Dakwah di Perkim.

Malahan atas kesungguhan yang dicurahkan dengan penuh ikhlas dan berdedikasi, akhirnya Mohd Najib Chan Abdullah, 49, ditawarkan menjadi ahli keluarga pertubuhan tersebut, iaitu sebagai Pembantu Dakwah pada awal tahun ini.

Katanya lagi, aktiviti seperti program ziarah, menolong saudara baru yang memerlukan serta memberikan tunjuk ajar dari segi pengetahuan ilmu agama Islam dan bergerak aktif atas platform Perkim Cawangan Pergerakan Belia, Wilayah Persekutuan atau singkatannya Perkim Gerak.

``Hati saya lega setiap kali berjaya membantu mereka yang memerlukan. Kegembiraan raut wajah yang terpancar di air muka mereka ini, benar-benar membuat hati saya puas dan tenteram.

``Memang sukar hendak diluahkan dengan perkataan. Sekurang-kurangnya, bantuan yang dihulurkan ini menjadi penawar duka dan kemantapan iman, sekali gus menjadi pemangkin semangat untuk terus berjuang walau apa dugaan yang melanda,'' luah Najib redha dengan dugaan Allah s.w.t. iaitu kehilangan isteri tercinta pada Jun lalu akibat penyakit kanser.

Akui Najib, walaupun beliau pernah diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan seperti diberhentikan kerja dan bergelar penganggur berbulan-bulan lamanya, namun pemergian Nor Aisah Omar, meninggalkan kesan mendalam kepada mereka sekeluarga termasuk ibu mentuanya, Zainah Abu Bakar yang tinggal bersama sejak tahun 1996.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semuanya ini ketentuan Ilahi dan sebagai hamba-Nya kita mestilah menerimanya dengan penuh kesabaran.

Menyedarinya, Najib menerima kenyataan ini. Beliau lega kerana telah memberikan layanan terbaik kepada isterinya.

Selain itu, beliau juga yakin dan percaya bahawa kesabaran itu ada ganjarannya yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

Malah bergelar ketua keluarga, Najib sentiasa mengingatkan anak-anaknya agar dugaan diterima dengan redha kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya.

Manakala, bagi Zainah pula tidak ada gunanya meratapi pemergian anak sulungnya kerana Allah s.w.t. lebih menyayangi Nor Aisah.

``Makcik pernah menyuarakan kepada cucu yang Makcik tidak mahu menyediakan juadah-juadah seperti sambutan raya sebelum-sebelum ini kerana tidak mahu terkenangkan arwah.

``Tetapi apabila didesak dan dipujuk oleh cucu-cucu, barulah Makcik sedar, yang pergi tetap akan pergi tapi kita yang hidup kena teruskan kehidupan,'' kata Zainah dengan suara tersekat-sekat cuba menahan kesedihan.

Tambah dua beranak ini lagi, arwah merupakan seorang yang periang, pemurah, bersikap keibuan dan sering bersama Najib mengikuti pelbagai aktiviti kebajikan dan program ilmu, terutamanya semasa beliau disahkan mengalami kanser tangan.

Laungan azan

Najib memeluk Islam pada tahun 1985 setelah terdengar laungan azan dari Masjid Jamek yang terletak di Jalan Tun Perak. Insiden tersebut telah mengimbau kembali memori beliau pada zaman kecilnya.

``Kali pertama saya terdengar bunyi azan semasa berusia 10 tahun. Saya berada di dalam kereta bersama ibu dan ayah di hadapan Masjid Tengkera di Melaka. Secara spontan saya tanyakan kepada ibu, bunyi apakah itu? Jawab ibu, itu lagu orang Melayu.

``Selepas saat itu, ia terkubur begitu saja. Pada tahun 1975 saya berhijrah ke Kuala Lumpur sehinggalah pada saat saya mendengar kembali laungan azan, perasaan saya bagai diseru-seru,'' cerita Najib yang mengucap dua kalimah syahadah di Perkim Petaling Jaya setelah mendalami ilmu agama Islam di bawah tunjuk ajar Ustaz Yusuf dan Ustaz Hafizan Abdullah di situ.

Tambahnya, pembelajaran secara formal dan konsisten, secara tidak langsung menjadikan matlamat bergelar Muslim sejati semakin hampir tercapai.

Malah katanya, nama Mohd Najib diperoleh daripada buku panduan telefon. Beliau menyenaraikan kira-kira lima atau enam nama tetapi nama yang bererti keturunan yang mulia, yang cerdik ini menjadi pilihan bakal ibu mentua.

Bercerita detik perkenalan dengan isterinya, kata Najib, mereka merupakan teman sekerja. Perkahwinan mereka dilangsungkan di Balai Polis Beruas, Perak secara besar-besaran.

``Waktu itu perkahwinan campur merupakan sesuatu yang istimewa. Jemputan mencecah 1,000 orang kerana bukan sahaja unik tetapi ini merupakan majlis perkahwinan anak sulung kepada pasangan Omar dan Zainah,'' cerita Najib sambil diakui oleh ibu mentuanya.

Mengenai halangan yang dilalui sebelum dan selepas bergelar Muslim, kata anak keempat daripada lima orang adik-beradik ini, budaya orang Melayu dengan bangsa Baba Nyonya tidak banyak berbeza.

Kehidupan seharian antara dua golongan ini banyak persamaan cuma yang membezakan ialah dari segi kepercayaan dan pegangan agama.

Rahsia

Oleh kerana itu beliau tidak merasa asing dan keluarga pula tidak menentang. Walaupun pada awalnya, beliau merahsiakan pengIslaman daripada pengetahuan keluarga dan saudara mara.

Kata Najib lagi, beliau tidak menghebohkan berita pengIslamannya kepada teman-teman, sama ada yang beragama Islam dan bukan Islam kerana takut kehilangan mereka serta dipandang serong.

``Beberapa tahun selepas pengIslaman, barulah pecah rahsia. Itupun selepas mereka nampak saya berpuasa dan menunaikan solat Jumaat barulah mereka tahu,'' kata Najib yang pernah mempraktikkan ibadah-ibadah seperti puasa sebelum memeluk agama Islam.

Akui bapa kepada Nabilah Farhanah, 15 dan Mohamad Nazmi, 10 tahun ini lagi, kesungguhannya mendalami ilmu diteruskan selepas berumahtangga, iaitu sentiasa berkunjung ke masjid atau surau serta menyibukkan diri dengan aktiviti kebajikan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...