Saturday, October 30, 2010

Hidayah5

Oleh ZUARIDA MOHYIN
Sumber: Utusan Malaysia

``TERIMA KASIH kepada Allah s.w.t. kerana menjadikan saya seorang Muslim dan saya berbangga menjadi seorang Muslim.''

Begitulah ungkapan awal yang berkali-kali meniti di bibir Ketua Pegawai Eksekutif, Y.Y. Group of Companies, Adams Yong ibni Abdullah sepanjang sesi temu bual bersamanya yang kebetulan menemani ketuanya, Hayaati Mohammad, berkunjung ke pejabat Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Adams, 49 mengakui pengetahuannya berkaitan agama Islam tidaklah terlalu cetek, memandangkan beliau pernah bekerja di negara-negara Islam sebelum ini seperti di Jeddah dan Brunei Darus Salam.

Meskipun pengalaman lebih 20 tahun yang lalu tidak mengubah kepercayaan Agama pada masa itu, namun ia sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada Adams mengenai cara hidup masyarakat Islam di sana amnya dan Malaysia, khasnya.

``Sebagai seorang rakyat Malaysia, pastinya saya lebih mengetahui bahawa agama Islam merupakan agama yang paling ramai penganutnya di kalangan bangsa Melayu di negara ini.

``Tambahan pula apabila menjadi Pengurus Kontraktor yang bertanggungjawab mengendalikan projek pembinaan Kompleks Al-Gurai di Jeddah pada awal tahun 1980, dan kemudian Brunei pada tahun 1993.

``Saat ini merupakan peluang pertama saya mengenali Islam dengan lebih dekat,'' cerita Adams yang mengucap dua kalimah syahadah pada Oktober tahun lalu di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Johor.

Menceritakan detik yang membawa kepada peristiwa paling bermakna dan bersejarah di dalam diari hidupnya, kata Adams, sekembalinya dari luar negara, Adams berkhidmat di Johor Bahru.

Melihat majikannya, Haayati, cantik bertelekung lantas mendirikan solat, telah menimbulkan pelbagai persoalan di hati kecil Adams.

``Pertama kali melihat bagaimana penampilan seorang wanita Muslim, hati saya cukup tersentuh. Lebih-lebih lagi, orang yang dimaksudkan tersebut ialah ketua saya, iaitu seorang wanita moden dan berjaya.

``Terfikir dalam kepala saya bagaimana seorang wanita yang dianggap moden tetapi boleh merendahkan diri kepada Allah s.w.t.

``Pasti ada sesuatu yang istimewa dengan agama Islam ini yang perlu saya ketahui lagi,'' terang Adams menceritakan detik-detik yang membawanya kepada sejarah pengIslamannya.

Menurutnya lagi, semenjak itu hasrat beliau mendalami ilmu Islam semakin berkobar-kobar. Salah satunya melalui pembacaan bahan-bahan berkaitan Islam yang banyak terdapat di pasaran.

Hakikatnya, Adams tidak mahu menerima agama Islam secara membuta-tuli. Inikan lagi kalau dilemparkan tuduhan memeluk Islam kerana tujuan perkahwinan.

Bagi Adams, Islamnya kerana menerima hidayah daripada Allah s.w.t. dan beliau berharap langkah yang dipilih ini bakal menjadi contoh dan ikutan bukan sahaja kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan Islam, bahkan saudara baru mahupun umat Islam itu sendiri.

``Setelah Islam, perubahan ketara yang saya peroleh ialah aspek ketenangan jiwa. Islam telah benar-benar menginsafkan dan menyedarkan saya bahawa di dunia ini Allah s.w.t. lebih berkuasa daripada segalanya.

``Segala nikmat, dugaan susah dan senang adalah daripada-Nya. Malah manusia adalah makhluk yang lemah dan mudah lupa.

``Semakin hari, Islam semakin terpaut kukuh di dalam diri ini. Keyakinan saya tidak berbelah bahagi terhadap Islam.

``Islam adalah agama yang benar. Konsep Tuhan Yang Satu, memang nyata kelogikannya jika dibandingkan dengan agama anutan saya dulu,'' akui Adams bahawa pengIslamannya adalah atas dasar keyakinan dan cinta kepada Allah s.w.t. melebihi segalanya.

Sepanjang pertemuan itu, keramahan Adams melayan setiap pertanyaan wajar diberi pujian. Apa tidaknya, beliau sanggup berkongsi pengalaman sebelum bergelar Muslim yang dianggap menyimpang daripada kehendak agama.

Kini, matlamat kehidupannya lebih jelas dan berhala tuju setelah menerima Islam. Impian Adams ialah menjadi seorang umat Islam yang baik dan taat.

Ada sesuatu yang menarik tentang Adams yang ingin penulis hebahkan kepada pembaca ruangan ini, ialah sikap Adams yang suka membawa bersama-nya senaskah al-Quran walau ke mana beliau pergi.

Menurut Adams, kitab al-Quran ini ada tertera tanda tangan dari setiap masjid yang beliau singgah atau kunjungi.

``Ia bukan sekadar hobi kosong tetapi saya memperoleh semacam motivasi daripadanya acap kali menziarahi rumah Allah ini.

``Satu kisah yang tidak akan saya lupa sampai bila-bila ialah apabila saya dihadiahkan dengan tasbih, Yasin, kopiah dan sejadah sewaktu singgah di sebuah masjid di selatan tanah air.

``Seorang tua yang tidak saya kenali telah memberikannya, dan pemberian pihak masjid ini adalah sesuatu yang bermakna, terutamanya orang seperti saya yang baru memeluk agama Islam,'' kata Adams yang sudah tiga kali khatam al-Quran.

Apa yang diperoleh hari ini kata Adams semuanya adalah kekuasaan Allah s.w.t. Tambahan pula sokongan padu dan tunjuk ajar daripada imam, bilal dan ustaz yang ditemui menambah lagi kekuatan dalaman Adams.

Menjawab reaksi keluarga dengan pengIslamannya, Adams bersyukur kerana tidak menghadapi tentangan yang hebat meskipun terpaksa berpisah dengan isteri dan anak lelaki tunggalnya.

``Allah s.w.t. lebih Maha Mengetahui apa yang ditakdirkan kepada hamba-Nya. Sebagai hamba-Nya kita kena yakin dan sentiasa berdoa agar suatu hari kelak, orang yang kita sayangi akan dipilih oleh Allah menerima hidayah-Nya,'' yakin Adams yang sentiasa mengukir senyuman.

Akui Adams lagi, walaupun sibuk beliau akan pastikan Maghrib dan Isyak dilaksanakan secara berjemaah di masjid.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...