Saturday, October 30, 2010

Hidayah4

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Sumber: Utusan Malaysia

PADA mulanya beliau menganggap memegang watak tukang azan atau bilal adalah mudah. Tetapi watak yang dianggap mudah itulah menyebabkan seorang aktor filem terkenal dari Albania, Mirush Kabashi memeluk Islam, baru-baru ini.

Kabashi sendiri tidak menyangka bahawa watak itu mampu merubah seluruh pandangan hidupnya mengenai hidup beragama.

Sebagaimana pelakon-pelakon filem ternama yang lain, membuat penyelidikan terhadap watak yang bakal dilakonkan dijadikan syarat untuk kekal lama dalam dunia perfileman.

Kabashi sendiri sebagaimana sebelum ini melakukan pelbagai penyelidikan yang mendalam terhadap watak yang baru ini. Iaitu mengambil cerita daripada sebuah kisah benar, bagaimana seorang pemuda yang diseksa kerana mempertahankan agamanya melalui azan yang berlaku di Bandar Berat, selatan Albania.

Bagi Kabashi watak ini sangat menarik dan beliau mahu melakonkan watak tersebut dengan berkesan sehingga mampu meraih kejayaan sebagai seorang pelakon filem terkemuka.

Lalu dengan sikap ingin tahu yang amat sangat, Kabashi mula mengkaji dengan membaca buku-buku mengenai Islam.

Selain itu, beliau juga mendengar dengan teliti daripada rakaman pelbagai jenis alunan azan yang baginya begitu menarik dan agak menyentuh perasaan.

Tidak sekadar mendengar, Kabashi juga mengkaji makna setiap patah perkataan yang dilaungkan dalam azan itu.

Akibatnya, dalam filem tersebut, Kabashi sendiri tidak sahaja melakonkan watak pemuda itu, malah beliau sendiri melaungkan azan dengan penuh perasaan setelah memahami isi kandungan azan yang antara lain, menyeru kepada sembahyang dan juga menyeru kepada kejayaan!

Tindakan Kabashi itu dianggap oleh sesetengah pengkritik filem sebagai bertentangan dengan profesionalisme beliau sebagai seorang pelakon.

Kisah pemuda tersebut berlaku ketika Albania di bawah rejim komunis yang terkenal sebagai anti agama sejak tahun 1943 hingga 1990.

Ia menjadikan Albania satu-satunya negara komunis yang benar-benar mengharamkan amalan sebarang agama, sehingga negara itu mengisytiharkan sebagai negara ateis secara rasmi dalam perlembagaan negara pada 1976.

Dengan pengisytiharan tersebut, serta merta juga menyebabkan semua institusi agama terutama masjid dan gereja diharamkan menjalankan aktiviti agamanya dan tidak berfungsi sebagaimana mestinya.

Ia menyebabkan pada hari ini, daripada 1,667 buah masjid yang ada sebelum era komunis, Albania kini hanya mempunyai 270 buah masjid.

Walau bagaimanapun penduduk Islam di negara itu merupakan 75 peratus dari 3.2 juta keseluruhan penduduknya kini.

Pemuda tersebut akhirnya menerima hukuman penjara selama lapan tahun kerana enggan meninggalkan agama Islamnya.

Oleh kerana beliau tetap cuba melakukan ibadat solat dan azan di dalam penjara, hukuman penjara terhadap pemuda tersebut ditambah selama lapan tahun lagi.

Sebagai pelakon yang telah memenangi banyak anugerah antarabangsa, hati Kabashi begitu tersentuh dengan kisah pemuda yang sanggup dirinya terseksa dan terpenjara, semata-mata untuk mempertahankan keimanan dan agamanya.

Kabashi sendiri yang sebenarnya dilahirkan Islam tetapi kesan daripada amalan anti agama oleh negaranya, menyebabkan beliau menemui kembali agamanya yang sebelum ini tinggal pada namanya sahaja.

Selepas melakonkan watak itu, Kabashi mula mengunjungi Masjid Tabaq yang terletak di tengah-tengah ibu kota Tirana.

Kedatangan beliau disambut baik oleh Imam Masjid, Sheikh Elvis dan para jemaah yang lain.

Sepanjang bersama Sheikh Elvis, Kabashi mengajukan pelbagai pertanyaan mengenai Islam dan bagaimana agama itu diamalkan.

Kabashi tidak sahaja mendapat jawapan yang memuaskan hati daripada imam tersebut, malah dikuatkan lagi dengan penerangan yang diberikan oleh Timbalan Mufti Albania, Bledar Myftari.

Selama setahun Kabashi berulang alik dari masjid itu untuk mengenali lebih mendalam mengenai Islam.

Walaupun beliau belum memeluk Islam secara rasmi, pelbagai perubahan positif telah ditunjukkannya berbanding hidup tanpa agama sebelum ini.

Lebih kurang enam bulan lalu, akhirnya beliau memeluk Islam secara rasmi, dan sejak itu juga beliau mampu menunaikan sembahyang sebanyak lima waktu sehari semalam.

Kabashi telah berjaya dalam latihannya untuk melaungkan azan, yang dipelajari daripada Imam Sheikh Elvis.

Ramadan tahun ini juga menyaksikan Kabashi menjalani ibadat puasa buat pertama kali dalam hidupnya.

Menurut pelakon ini, beliau sangat kesal dengan kempen-kempen anti Islam yang dijalankan oleh media antarabangsa dan tempatan.

Baginya, Islam satu-satunya agama yang berjaya menyatupadukan pelbagai jenis etnik kaum yang terdapat di Albania, melalui ajaran dan toleransi yang ditunjukkan.

Walau bagaimanapun sehingga kini masih terdapat pelbagai tekanan terhadap penduduk Islam di negara itu.

Pertubuhan Islam tertinggi di Albania baru-baru ini misalnya, terpaksa membayar hampir $4,000 dolar (US) untuk membeli waktu siaran tv bagi membenarkan azan Maghrib disiarkan untuk membolehkan umat Islam di negara itu mengetahui pengumuman waktu berbuka puasa.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...