Friday, October 29, 2010

Hidayah3

Oleh ZUARIDA MOHYIN
Sumber: Utusan Malaysia

''Semuanya bermula kira-kira 22 tahun lalu, apabila saya berkenalan dengan seorang pelancong dari Malaysia yang berbangsa Melayu serta beragama Islam,'' akui Bunmee Mathan @ Joyah Binti Abdullah akan rentetan kisah awal yang membawa kepada perkahwinan dan pengIslamannya.

Cerita Joyah, 45, beliau berkenalan dengan allahyarham suaminya, Sanusi Alias bin Haji Palil, semasa bekerja di sebuah kedai makan di Haadyai, Thailand.

Dalam masa yang sama, Joyah mempunyai keluarga angkat yang beragama Islam.

Dalam perkenalan sesingkat itu, mereka mengenali hati budi masing-masing.

Malahan, beliau bukan sahaja terpikat dengan perwatakan teman barunya itu, tetapi juga kepada agama Islam yang menjadi pegangannya.

Lantaran itu, atas rasa kepercayaan dan kejujuran yang ditunjukkan Sanusi, Joyah mengambil keputusan menerima lamarannya biarpun usia Joyah baru mencecah 23 tahun manakala Sanusi 42 tahun.

Dengan bantuan dan sokongan keluarga angkatnya, Joyah ke Pejabat Agama Islam yang terletak di Wilayah Satun, Thailand dan mengucap dua kalimah syahadah pada Jun 1982.

Pada hari yang sama juga, mereka berdua diijab kabulkan dan termetrailah satu ikatan yang kuat melalui perkahwinan.

Tambah Joyah yang berasal dari Chiengmai, Thailand, suaminya memberitahu apabila seseorang itu memeluk agama Islam, dirinya diumpamakan seperti baru dilahirkan, suci dan bersih.

``Hati saya tenang semasa menerima Islam, biarpun mendapat tentangan hebat daripada keluarga terdekat.

``Malah keputusan saya mengikut suami pulang ke negaranya, Malaysia saya terima sepenuhnya memandangkan di negara asal, sudah tidak ada sesiapa yang mahu membantu kecuali keluarga angkat.

``Saya cuba menerangkan kepada ibu tentang pengIslaman saya tetapi mereka tidak dapat menerima keputusan anaknya yang dikira mengejut tersebut,'' kata anak sulung daripada empat beradik ini sewaktu ditemui di rumahnya di Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang, Selangor, baru-baru ini.

Dalam pertemuan pagi itu, Joyah bersyukur kerana keseluruhan ahli keluarga suaminya dapat menerimanya sebagai sebahagian daripada ahli keluarga besar mereka.

Malah, selepas kematian suami akibat penyakit jantung, sanak saudaranya dan adik beradik yang lain terus menerus memberikan Joyah bimbingan agama secara formal.

``Awal-awal dahulu, saya belajar tentang agama Islam melalui keluarga rapat suami sahaja. Sokongan mereka inilah yang menguatkan semangat saya.

``Masuk Islam merupakan keputusan yang bukan sia-sia. Apa yang saya dapati, Islam merupakan agama yang lengkap dan sesuai dengan fitrah manusia.

``Agama Islam jauh berbeza dengan agama asal saya. Di dalam Islam, setiap amalannya dinyatakan di dalam al-Quran malah dijelaskan lagi melalui hadis-hadisnya.

``Ia benar-benar menunjukkan jalan sebenar agar umatnya tidak tersesat,'' terang Joyah yang aktif belajar agama di Pejabat Agama Klang sejak tahun 1991.

Semenjak mengikut suaminya, Joyah turut berusaha memperbaiki hubungan kekeluargaan dengan keluarga di kampung asalnya.

Kata Joyah, beliau tidak pernah berputus asa biarpun pada awal tiga tahun selepas pengIslamannya, keluarganya masih berat untuk menerimanya.

Joyah sentiasa menghubungi mereka dan kadangkala akan pulang ke kampung halaman.

Sungguhpun menerima sambutan dingin, Joyah tetap memastikan tanggungjawabnya sebagai anak dapat dilaksanakan.

Di samping itu, kesempatan yang ada di sana digunakan sepenuhnya oleh Joyah untuk menerangkan tentang agama Islam agar mereka dapat menerima hakikat agama Islam yang sebenar.

``Alhamdulillah, doa saya didengar oleh Allah s.w.t. Tiga tahun selepas saya peluk Islam, ibu bapa dan adik beradik sudah boleh menerima saya dan keluarga sebelah suami,'' kata Joyah yang juga mengikuti kelas jahitan anjuran Jabatan Agama Islam Selangor, yang disediakan khas untuk saudara-saudara baru dari negeri tersebut.

Dalam pertemuan pagi itu juga, Joyah ditemani oleh sanak saudara. Suasana mesra ini, jelas menggambarkan Joyah tidak berseorangan dalam meneruskan kehidupan, lebih-lebih lagi, orang yang membawanya kepada Islam sudah tiada.

``Apabila bapa saudara membawa pulang isterinya, kami tidak pernah membantah kerana itu sudah pilihannya.

``Malah semasa Allahyarham sakit dulu, beliau pernah berpesan agar isterinya mendapat pendidikan Islam secara lebih teratur.

``Rupa-rupanya itulah amanat terakhir beliau. Bukannya kami tidak boleh mengajar tetapi adalah lebih elok memperolehinya daripada pihak-pihak yang berkaitan.

``Secara tidak langsung juga, membuka minda Mak Su melalui pergaulan dengan teman sekelas,'' terang Rahmah dan suaminya, Rahmad yang juga turut serta dalam sesi perbualan pagi itu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...