Friday, October 29, 2010

Hidayah2

Oleh ZUARIDA MOHYIN
Sumber: Utusan Malaysia

Kisah pengIslaman Pengerusi Perkim Cawangan Pergerakan Belia atau dikenali Perkim Gerak, Mohd. Amir Al-Karim Ng bin Abdullah, 32, boleh diumpamakan seperti orang mengantuk disorongkan bantal.

Biarpun waktu itu akui pemuda kelahiran Rawang, Selangor ini, beliau mewarisi agama anutan kedua-dua ibu bapanya iaitu Buddha tetapi beliau bukanlah seorang penganut yang dikategorikan setia.

Malah status agamanya itu sekadar tercatat di atas sijil kelahiran sahaja. Waima, untuk mengamalkannya jauh sekali.

Cerita anak ketiga daripada lima beradik ini lagi, sungguhpun telah menerima pendedahan kepada agama Buddha sejak kecil dan kemudian diperkenalkan oleh abangnya yang beragama Kristian apabila meningkat dewasa, namun Amir masih merasakan wujud kekosongan di dalam jiwa dan hidupnya tidak tenteram.

Malah pada masa itu kehidupannya seperti layang-layang putus tali atau sedang mencari pegangan hidup.

Lantaran itu, tidak hairanlah Amir pernah beberapa kali mengikut abangnya ke gereja pada setiap hari Sabtu dan Ahad.

Pun begitu, ia masih tidak mampu memenuhi desakan dalaman jiwanya yang dahagakan ketenteraman.

Namun perkenalan Amir dengan seorang pemuda Melayu yang bekerja bersebelahan dengan pejabatnya, menjadi titik tolak yang merubah kehidupan Amir hingga ke hari ini.

Mengikut kata Amir, pengetahuan beliau tentang agama Islam memang tidak ada langsung. Ini kerana, Amir dibesarkan dalam persekitaran perkampungan kaum Cina dan bersekolah di sekolah aliran Cina.

Di sini sahaja, memberi gambaran kekuasaan Allah s.w.t. mengenai bagaimana hidayah itu diterima oleh Amir walaupun beliau benar-benar `buta' tentang agama Islam.

``Masa itu saya ingatkan agama Islam adalah untuk orang Melayu sahaja. Melalui teman baru, saya banyak bertanyakan kepadanya tentang konsep ketuhanan di dalam Islam, amalannya dan boleh dikatakan hal-hal yang berkaitan dengan hukum-hakam di dalam Islam.

``Daripada jawapan yang diberikan, saya dapat merasakan kelainan atau sesuatu yang istimewa terdapat pada agama Islam ini. Hati saya semakin ingin mengetahui dan tidak mahu melepaskannya.

``Teman tersebut menyarankan agar saya pergi ke Balai Islam, Jalan Ipoh. Jadi pada bulan April 1995 saya telah ke sana dengan azam yang kuat,'' kata Amir yang akhirnya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Azlan Shah pada tahun yang sama.

Mengimbas pengalaman mula-mula menjejakkan kaki ke Balai Islam cerita Amir, perasaan takut menyelubungi dirinya waktu itu. Dia takut kehadirannya di situ diketahui dan dilihat oleh kawan-kawan serta kenalan keluarga.

Namun, kegundahan tersebut terlerai sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik pengajian petang itu.

Perasaan takut yang hadir sebelum ini, tiba-tiba bertukar berani, gembira dan terlupa perkara yang negatif hanya kerana melihat majoriti kehadiran adalah terdiri daripada mereka yang sebangsa dengannya.

Akui beliau lagi, pertama kali menyertai kelas agama tersebut beliau yakin dengan agama Islam ini. Jiwanya semakin tenteram sehinggakan Amir sanggup mengorbankan masa senggang selama empat kali dalam seminggu demi mengikuti kelas-kelas agama anjuran Perkim sehinggalah bergelar Muslim yang sah.

PengIslaman beliau tanpa pengetahuan keluarga, mengundang satu lagi cabaran kepada Amir. Namun halangan tersebut dianggap kecil kerana ketenangan dalaman yang diperoleh, itu yang lebih berharga.

Amir tetap meneruskan kelas praktikal sembahyang dan berwuduk selepas memeluk Islam. Malah tidak sampai dua minggu, beliau sudah lancar membaca surah al-Fatihah.

Menyentuh `tarikan' tentang Islam kata Amir, Islam begitu mudah dipelajari dan ia sesuai dengan fitrah kehidupan seorang manusia.

``Ia adalah satu agama yang berterus terang dan tidak berselindung. Semuanya boleh diperoleh dalam al-Quran mahupun dalam hadis.

``Satu lagi, Islam tidak membezakan setiap manusia itu walau apa bangsa, warna kulit, jantina dan rupa paras. Mereka yang tinggi ketakwaan kepada Allah s.w.t. sahaja yang membezakan seseorang Muslim itu,'' kata Amir yang ditemui baru-baru ini.

Berbalik kepada reaksi yang diterima daripada keluarga kata Amir dalam suara yang tersekat-sekat menahan kesedihan, ibunya marah tidak terhingga manakala adik beradik yang lain langsung tidak dapat menerimanya.

``Hampir sebulan lamanya keluarga tidak berinteraksi dengan saya. Mungkin itu sebagai satu tanda protes atau pemulauan terhadap tindakan saya yang dianggap mengaibkan nama baik keluarga.

``Namun satu peristiwa yang cukup menyentuh hati ini apabila melihat emak menitiskan air mata di hadapan saya kerana terlalu kecewa dan tidak tahan dengan kata tohmahan daripada masyarakat sekeliling.

``Itulah saat yang paling memilukan kerana saya tidak pernah melihat emak berkeadaan sedemikian. Saya cuba terangkan kepadanya bahawa hubungan kami tidak akan terputus walaupun kami berlainan agama.

``Malah saya berjanji kepada emak, saya akan tetap tinggal di rumah keluarga dan akan menjaga kedua-dua ibu bapa selagi ada hayat ini,'' cerita Amir dengan genangan air mata.

Alhamdulillah, kerisauan Amir terubat apabila keesokan paginya, emak kelihatan lebih ceria dari hari-hari sebelumnya.

Bahkan, ada ketikanya beliau membelek buku-buku agama versi Cina yang dibawa pulang dari Balai Islam. Ini menunjukkan tanda-tanda penerimaan ibunya.

Selain itu, kata Amir, beliau turut mengamalkan amalan mencium tangan dan memeluk ibu di rumah. Lama kelamaan keluarga dapat menerima Amir kembali.

Menyingkap detik perkenalan dan perkahwinannya, bapa kepada Amirah Balqis, 1 tahun 10 bulan ini dengan gadis Perak, NoorAziah bt. Mat, 32 berkata, ia diatur oleh seorang kenalan.

Tambah Amir, selepas empat tahun pengIslaman, beliau mula memikirkan soal mencari pasangan hidup. Mereka berkenalan pada tahun 1999 menerusi kiriman surat dan telefon apabila perlu sahaja.

``Isteri masa itu masih belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM). Saya tertarik dengannya kerana beliau rajin bercerita tentang agama, memberi kaset dan buku-buku agama sepanjang perkenalan. Kami bertunang tak lama sebelum bernikah,'' kata Amir yang mengakui mereka bercinta selepas berkahwin.

Amir pernah mengerjakan umrah bersama isteri dan ibu mentua beliau pada tahun 2001. Pengalaman berada di Tanah Suci, Mekah menguatkan azam Amir untuk melaksanakan ibadat haji, insya-Allah pada tahun hadapan.

Penglibatan Amir dengan Perkim Gerak pula bermula pada tahun 2001 apabila menyedari bahawa setiap orang Islam ada tanggungjawab untuk saling menolong sesama Islam tidak kira sama ada ia seorang saudara baru ataupun dilahirkan Islam.

Sungguhpun sumbangan tersebut bukan dari segi ilmu mahupun kewangan tetapi sekadar tenaga, itupun merupakan satu ibadat.

Amir tidak mengharapkan sebarangan pulangan kecuali menganggap segala yang disalurkan ini sebagai satu bentuk kerja kebajikan untuk saham akhirat.

``Ramai orang ingat Islam itu susah sebab mereka tidak menuntut ilmu. Hakikatnya, Islam adalah agama yang sesuai sepanjang zaman.

``Yang penting kita kena yakin dengan Islam seratus peratus. Kalau kita melakukan sesuatu jangan fikir apa orang fikir tetapi fikirkan kerana Allah s.w.t. dan sembahyang adalah penawar paling mujarab,'' tegas Amir mengakhiri perbualan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...