Sunday, September 19, 2010

Perkara dituntut, larangan ketika sambut Syawal

Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

UMAT Islam kini memasuki Syawal dan umat Islam di seluruh dunia menyambutnya dengan penuh kemeriahan. Kemunculan Syawal menandakan tamatnya Ramadan, bulan keampunan, bulan kerahmatan, bulan pendidikan dan bulan latihan bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Sebagai tanda kemenangan bagi umat Islam melalui bulan itu, maka Allah mensyariatkan pada 1 Syawal, umat Islam hendaklah menjadikan tarikh itu sebagai hari untuk menyambut kemenangan hinggakan pada hari itu umat Islam dilarang lagi untuk berpuasa.

Orang Islam hendaklah menyambut hari itu dengan penuh rasa kesyukuran kepada Allah kerana mereka berjaya menempuh ujian sepanjang Ramadan. Ujian itu didatangkan oleh Allah kepada hambanya dalam pelbagai keadaan.

Umat Islam di Malaysia perlu memanjat kesyukuran kepada Allah kerana mereka dapat berpuasa dalam keadaan suasana negara yang aman damai. Mereka hanya diuji dengan kelaparan dan kepanasan. Ia amat berlainan dengan sebahagian nasib umat Islam di negara lain seperti di Iraq, Palestin dan Kashmir apabila penduduknya terpaksa berdepan dengan dentuman bom dan ancaman maut untuk menghabiskan sebulan Ramadan. Mereka tetap diuji. Ujian mereka lebih berat daripada umat Islam di negara lain.

Malah, sesuatu yang tidak dapat dinafikan, mereka bertahun-tahun menyambut Syawal dalam keadaan yang sama suasananya mereka berada pada Ramadan. Walaupun mereka berada dalam kesusahan, mereka tetap tenang menyahut ujian itu. Mereka tetap merayakan 1 Syawal.

Apabila menjelang Syawal umat Islam digalakkan bertakbir (membesarkan Allah) dan bertahmid (memuji Allah) walau dalam keadaan apa sekalipun mereka berada. Abu Hurairah menjelaskan, Nabi Muhammad bersabda: Hiasilah hari raya kamu dengan takbir (Hadis riwayat Tabrani).

Hadis di atas diperkuatkan lagi dengan sebuah hadis yang lain, dari Anas a.s, Nabi Muhammad bersabda: Hiasilah kedua-dua hari raya dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis (mensucikan Allah). – (Hadis riwayat Abu Naim).

Menurut ulama, takbir pada hari raya hukumnya adalah sunat. Selain itu, umat Islam yang menyambut Syawal digalakkan menziarahi kaum keluarga mereka. Dengan bersua muka, mereka dapat memohon kemaafan dan kesilapan yang dilakukan sama ada terhadap orang tuanya mahupun ahli keluarganya yang lain. Lazimnya, ahli keluarga akan berkumpul untuk bertanya khabar.

Bagi yang ada masalah peribadi dengan keluarga, Syawal amat sesuai untuk mencari jalan penyelesaian kerana pada waktu itu umat Islam sedang bergembira.

Malah, pada hari inilah seseorang itu akan dapat bertemu dengan rakan taulan yang lama tidak bersua kerana membawa haluan dan mencari rezeki masing-masing. Kesempatan itu perlu digunakan untuk memohon kemaafan kepada sanak saudara dan rakan taulan.

Selain itu, umat Islam juga digalakkan menziarahi pusara kaum keluarga yang pulang lebih dulu menemui Allah. Dengan berkunjung ke pusara mereka secara tidak langsung menunjukkan kita masih mengingati mereka yang tiada, lebih-lebih lagi mereka yang pergi adalah ibu bapa kita. Dengan mengunjungi mereka, kita juga akan dapat berasakan pada suatu hari nanti, kita juga akan ke sana. Ia secara tidak langsung boleh memperbaiki mutu kita sebagai hamba Allah.

Pada hari yang penuh kesyukuran ini adalah sesuatu yang amat salah sekiranya ada di kalangan umat Islam merayakan hari itu dengan mengenakan pakaian mendedahkan aurat dan menjolok mata. Sesetengah mereka mengatakan, apa salahnya setahun sekali mengenakan pakaian sebegini.

Malah, sambutan Syawal juga melarang umat Islam menghadirkan diri ke tempat maksiat seperti ke pub, kelab malam dan tempat berunsur perjudian.

Sekiranya ada kelakuan di atas dan pelbagai maksiat lain dilakukan juga oleh umat Islam menjelang Syawal, puasa mereka selama sebulan Ramadan itu sebenarnya tidak meninggalkan apa-apa kesan kepada diri mereka.

Puasa mereka ini sebenarnya tidak ada apa-apa nilai di sisi Allah, melainkan mereka mendapat lapar dan dahaga semata-mata. Puasa mereka tidak mendatangkan manfaat kepada mereka.

Sekiranya seseorang Muslim itu ada perubahan sikap mereka selepas melaksanakan ibadat puasa Ramadan selama sebulan, puasa yang mereka lakukan itu memberi manfaat kepada mereka. Malah orang itu akan berasa adanya peningkatan penghayatan Islam dalam diri mereka, termasuklah penghayatan menyambut Syawal. Penghayatan itu akan terus dihidup dalam diri mereka selepas itu dan mereka sebenarnya termasuk di kalangan orang yang bertakwa.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Sumber: Berita Harian

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...