Friday, September 17, 2010

Jalin semula ikatan sahabat

Sumber: Kosmo

BULAN Syawal bakal menjelma tiba kurang beberapa hari lagi. Bagi meraikan hari paling ditunggu-tunggu umat Islam setelah sebulan menunaikan ibadah puasa, marilah kita bersama-sama menyusun jari, memohon maaf di atas segala kekesalan dan keterlanjuran yang terbuku di hati.

Pepatah Melayu, buang yang keruh dan ambil yang jernih, sememangnya membawa maksud yang begitu mendalam tentang sebuah perhubungan yang sekian lama terpisah, angkara kurangnya persefahaman mahu pun terlanjur kata-kata.

Tidak dinafikan, seseorang yang bergelar sahabat adalah insan paling dihargai dan dihormati dalam sesebuah perhubungan. Merekalah tempat mencurahkan perasaan, berkongsi pendapat, menyimpan rahsia, misi dan kegusaran.

Tetapi sayangnya, kesibukan bekerja, perbezaan dua hati dan bebanan yang ditanggung selama ini antara punca tercetusnya pertelingkahan.

Namun, di sebalik keegoan diri, kamu dengan tiba-tiba mengingati kembali saat manis ketika bersamanya.

Perasaan ingin tahu di mana dia berada, adakah dia masih mengingati kamu lagi, pernahkah terlintas di hatinya untuk bertemu dengan mu semula, mula bermain di kotak fikiran. Lebih-lebih lagi kala saat Syawal menjelang tiba.

Terdapat pelbagai cara yang perlu dititikberatkan sebelum kamu menghubunginya semula. Intim minggu ini berkongsi tip bagi mengeratkan semula hubungan persahabatan yang sudah lama terpisah. Selamat mencuba.

*** Imbas memori lama

PEMBERIAN buah tangan berupa hamper sememangnya dijadikan elemen penyatu sebuah perhubungan.

Sesekali terkenangkan memori indah bersamanya, ia begitu mengusik jiwa sehingga tidak dapat menahan linangan air mata. Jalan terbaik, kamu seharusnya mengimbas kembali detik indah dengan membuka semula album lama mahu pun kiriman mesej terakhir daripadanya.

Langkah sedemikian amat berkesan bagi menggamit semula perasaan rindu kamu terhadapnya, sekali gus hadir perasaan ingin bertemu dengannya.

*** Utus kad raya atau SMS

Teknologi canggih hari ini mampu mengubah segala medium komunikasi manusia yang tiada batasan. Tidak kira menerusi kiriman kad raya mahu pun penghantaran melalui Sistem Pesanan Khidmat Ringkas (SMS), kamu berpeluang merapatkan kembali hubungan yang terputus.

*** Khabar menerusi telefon

Buat pertama kalinya, jika kamu malu untuk bersemuka, kamu mempunyai pilihan kedua dengan menghubunginya menerusi talian telefon.

Pada awal perbicaraan, elak bercerita atau membangkitkan perkara atau punca berlakunya pergaduhan antara kamu berdua. Sikap sebegitu sememangnya boleh menghilangkan mood sahabat kamu tadi. Sebaliknya, dahulukan perbualan dengan pengenalan diri sebelum menjelaskan tujuan menghubunginya.

*** Bingkisan pengganti diri

Tiada kata yang lebih indah selain dikarang sendiri oleh pengirimnya. Sebagai pengganti dirimu, pemberian buah tangan berupa hamper dapat menyatukan hubungan yang sudah lama terpisah. Ia bukan sahaja kelihatan cantik tetapi memberi makna yang mendalam terhadap sebuah perhubungan.

Pemberian hadiah berupa cenderamata Aidilfitri akan dikenang sahabat setiap kali menjelangnya Hari Raya.

*** Buang sikap ego

Bukan mudah untuk kita merapatkan semula persahabatan yang sudah lama terpisah kerana perselisihan faham. Pelbagai perkara bermain di fikiran.

Jadi, kamu perlulah memikirkan jalan terbaik bagaimana membuatkan diri kamu berasa persahabatan itu layak dihidupkan kembali.

Justeru, ubahlah sikap ego kamu selama ini agar disenangi semua rakan-rakan di sekeliling.

*** Lahir rasa sayang

Tanpa kasih sayang dan bantuan daripada insan bergelar sahabat, gelaplah dunia persahabatan dalam kehidupan seseorang. Namun, diri sendirilah yang bertanggungjawab mengembalikan semula dunia persahabatan itu dengan melahirkan rasa sayang yang tiada titik noktahnya.

*** Buat kejutan

Bagi menutup perasaan bersalah atau membangkitkan rasa percaya terhadap dirinya, ciptakan satu kejutan tanpa dia sedari. Contohnya, pada petang terakhir Ramadan, luangkan sedikit masa mengunjungi kediamannya, semata-mata untuk membuat kejutan istimewa. Sekali gus bertanya tentang persiapan akhir menjelang Syawal.

Yang pasti, buangkan rasa malu dan takut, kerana semua perkara lepas akan berakhir dengan kata-kata, "Awaklah sahabat saya dunia akhirat".

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...