Saturday, September 25, 2010

Hujan - Rahmat atau laknat?

Dari ‘Atha’ bin Abu Rabah r.a. katanya, dia mendengar Aisyah r.a., isteri Rasulullah SAW bercerita, "Bila angin bertiup kencang dan langit mendung berawan banyak, tampak kegelisahan di wajah Rasulullah SAW sehingga baginda maju mundur (berjalan mundar-mandir) . Apabila hujan telah turun wajah baginda berubah menjadi gembira dan hilang kegelisahannya.

Berkata Aisyah, "Aku bertanya kepada baginda, apa yang menyebabkan baginda gelisah sebegitu rupa." Jawab baginda, "Aku khuatir kalau-kalau angin dan mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umatku. Tetapi bila hujan telah turun maka hal itu adalah rahmat." (Hadis riwayat Muslim)

Allah SWT menyuruh kita hamba-hambanya agar sentiasa melakukan apa yang disuruh-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Maka selaku manusia yang ditugaskan menjadi khalifah Allah, wajib ke atas kita menjalankan perintah Allah itu tanpa rasa malas, angkuh dan sombong atau dengan lain perkataan menderhakai Allah dengan melakukan berbagai kemaksiatan di muka bumi ini.

Sesungguhnya apabila kemurkaan Allah menjelma akibatnya amat dahsyat sekali sebagaimana yang telah berlaku pada kaum ‘Add yang hanyut dengan seribu satu kemaksiatan hingga pada suatu ketika telah datang kepada mereka awan mendung dan mereka berkata, "Inilah awan-awan yang akan menurunkan hujan bagi kita..." Namun ternyata bahawa hal yang sebaliknya berlaku di mana kebaikan yang mereka sangkakan akan mendatangi mereka sebenarnya adalah satu bala (malapetaka) yang diturunkan Allah akibat dari kejahatan yang mereka lakukan.

Mengingatkan hal inilah, Rasulullah SAW akan merasa resah gelisah setiap kali awan mendung berarak, memikirkan sama ada ia merupakan satu rahmat atau satu laknat daripada Allah SWT. Oleh itu sebagai umat Islam, kita ini hendaklah sentiasa beringat dan menjauhi perkara yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Lebih-lebih lagi di akhir zaman ini, berbagai-bagai malapetaka alam yang terjadi seperti gempa bumi, taufan, letupan gunung berapi, banjir besar, ombak besar dan sebagainya berlaku dan sesungguhnya segala peristiwa tersebut sebenarnya mempunyai pengajaran (mesej) yang tersendiri untuk umat manusia seluruhnya di mana hanya manusia yang benar-benar beriman dan beramal soleh serta yang diberi taufik dan hidayah sahaja yang akan sedar dan mengambil iktibar daripadanya.

Hujan, rahmat atau laknat?

Kadang kala kita sentiasa terdengar orang-orang di sekeliling atau kita sendiri mengeluh apabila cuaca yang dikatakan 'buruk', seperti :

* “Ishh….cuaca buruk je akhir-akhir ni yer…soalnya, kenapa hujan dikatakan cuaca buruk???”
* “Iskkk….. Tak kering la baju kalu asyik hujan je…”
* “Alahaiiii…..hujan lagiii!!!!”
* “Tiap-tiap hari hujan…susah la mcm nih…”
* “Kalau hujan…memang payah nak buat ape-ape kerja…”
* “Ala… tak boleh balik la mcm ni…hujan!!”


Adalah lebih molek jika bebelan-bebelan itu lebih baik digantikan dengan doa kerana sesungguhnya, hujan yang diturunkan adalah rahmat bukan malapetaka kepada kita.

“Allahumma syaiyiban nafi’a”
Terjemahan : Ya Allah, Ya Tuhan kami, jadikanlah hujan ini bermanfaat buat kami.


Tatkala mendengar petir pula, bacalah :

“Allahumma la taqtulna bi gadabika wa la tuhlikna bi 'azabika
wa 'afina qabla zalik”
Terjemahan : Ya Allah, janganlah Engkau membunuh kami dengan kemurkaan-Mu, dan janganlah Engkau membinasakan kami dengna siksa-Mu, dan selamatkanlah kami sebelum itu.


Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan Dialah (Allah SWT) yang menghantar angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangannya (yakni hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, dan dihalakan ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu diturunkan hujan bersama awan mendung itu, kemudian dikeluarkan air hujan untuk membasahi bumi untuk terus hidup.” (Surah Al-A’raf, ayat 57)

Sedarkah kita bahawa air hujan yang turun ke bumi adalah limpahan rahmat yang diberikan oleh Allah SWT dan bukannya malapetaka. Rasullullah SAW ada berpesan kepada umatnya bahawa apabila hujan turun ke bumi, setiap doa daripada umatnya adalah mustajab.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan Allah jualah mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepada-Nya dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akanNya serta berserahlah kepada-Nya. Dan (ingatlah), tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Hud, ayat 123)

Oleh itu, mulai hari ini, apabila hari hujan, janganlah bersungut tetapi ditukarkan kepada berdoa kerana hujan yang diturunkan adalah rahmat kepada kita.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...