Thursday, September 16, 2010

Aidilfitri - Galak ziarah saudara-mara

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

Dahulu, sesudah sahaja menunaikan solat sunat Aidilfitri, seluruh isi keluarga, tidak kira tua ataupun muda akan berkumpul di rumah ibu bapa. Kemudian, mereka mula menyusun langkah berkunjung ke rumah saudara-mara sambil bermaaf-maafan sekali gus menikmati juadah Raya seperti ketupat, lemang, rendang dan bahulu.

Apatah lagi golongan kanak-kanak yang begitu teruja setiap kali menjelangnya Syawal. Budaya kunjung mengunjungi dari sebuah rumah ke sebuah rumah jiran tetangga nyata membangkitkan kemeriahan suasana Hari Raya. Dengan mengenakan baju Melayu dan baju kurung yang berwarna-warni, kanak-kanak menjadi golongan yang paling seronok menyambut Hari Raya. Mana tidaknya, inilah masanya untuk mereka mengumpul duit Raya. Ada yang berjalan kaki dan tidak kurang juga, yang berbasikal mengelilingi kampung dari pagi sehingga lewat petang.

Senario kanak-kanak menyambut Raya pada hari ini dilihat sedikit berubah apabila semakin kurang yang sanggup berpeluh untuk bertandang ke rumah jiran. Begitu juga generasi muda khususnya remaja yang kini nampaknya lebih gemar bersosial bersama rakan-rakan di pusat membeli-belah pada Hari Raya pertama atau sekadar memerap di rumah menonton pelbagai rancangan istimewa Aidilfitri di kaca televisyen.

Perubahan itu sekali gus membuatkan amalan kunjung mengunjung bagi menghayati Syawal dalam erti kata yang sebenar semakin dipinggirkan. Misalnya, amalan ziarah menziarahi saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga, tidak lagi dianggap sebagai satu keperluan atau kewajipan dalam kehidupan anak muda sekarang.

'Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing,' begitulah perumpamaan yang dapat dijelaskan bagi menyatakan sikap remaja hari ini yang mementingkan diri sendiri, seolah-olah hubungan sesama manusia tidak lagi menjadi keutamaan.

Perkara ini turut diakui Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali yang mengatakan: "Malangnya, ada ibu bapa sendiri yang tidak mempraktikkan amalan ziarah menziarahi ini. Sebab itulah, generasi anak-anak mereka tidak berminat untuk meneruskan amalan tersebut."

Katanya, jalan terbaik bagi mengatasi masalah anak muda kurang menghayati erti Syawal ialah ibu bapa perlu menerapkan amalan itu kepada anak-anak kecil bermula dari rumah.

Menurutnya, ibu bapa adalah orang yang paling dekat dan paling layak menasihati golongan muda agar terus mengamalkan tradisi masyarakat Melayu yang telah diwarisi sejak zaman berzaman.

"Malangnya, terdapat segelintir ibu bapa berasa malu dan enggan membenarkan anak-anak kecil mereka beraya di rumah jiran kerana bimbang dikatakan menyuruh anak-anak mengutip duit Raya.

"Pendapat sebegini ternyata salah. Sepatutnya, anak-anak dididik menziarahi saudara dan jiran untuk saling bermaaf-maafan sekali gus mengeratkan persaudaraan. Jika ada yang memberikan duit Raya, tak salah nak terima tetapi kalau tak ada, jangan meminta. Pesan kepada anak-anak hal sedemikian dan bukannya menghalang terus anak-anak berkunjung ke rumah jiran dan rakan-rakan sekampung," ujarnya.

Perkara paling dibimbangi, jelas Suzana ialah terdapat segelintir ibu bapa yang berasa sayang untuk meninggalkan rumah mereka. Ini disebabkan mereka bimbang daripada terlepas menyaksikan cerita menarik yang ditayangkan di kaca televisyen.

"Sikap ini sepatutnya tidak ada pada diri mereka sekiranya kelebihan amalan menziarahi itu diketahui dan diambil peduli," ujarnya.

Namun, beliau tidak menyangkal bahawa kemungkinan terdapat sikap negatif seperti sombong, pentingkan diri sendiri atau berlagak.

Katanya, ini boleh menjadi penyebab utama kenapa kelebihan amalan menziarah pada Hari Raya gagal dihayati oleh pihak tertentu.

"Ada beranggapan, amalan menziarah adalah untuk bermaaf-maafan. Ini menyebabkan mereka berpendapat tidak perlu menziarah kerana mereka tidak melakukan kesalahan kepada jiran atau saudara," ujarnya kesal.

Hakikatnya, menziarah bukannya sekadar untuk bermaaf-maafan, sebaliknya untuk mengeratkan silaturahim. Malah, setiap daripada kita digalakkan untuk saling bermaaf-maafan walaupun kita berasa tidak melakukan kesalahan kerana ada ketikanya, kita terlupa bahawa kita sebenarnya pernah tersilap.

"Ajaran Islam menekankan amalan menziarahi saudara-mara atau sahabat handai," katanya sambil menegaskan amalan itu boleh membentuk satu ikatan yang kukuh di antara satu sama lain.

Tambahnya, amalan ziarah merupakan satu wasilah dalam mengukuh silaturahim sesama kita. Amalan tersebut memberi manfaat yang besar dan faedah yang berguna di dalam konteks perpaduan ummah. Budaya menziarahi juga membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai dan yang susah menjadi mudah.

Menurutnya, inisiatif untuk mengembalikan budaya ini agar kekal sehingga ke generasi seterusnya perlu diberi perhatian serius.

"Ia boleh dilakukan melalui didikan awal kanak-kanak mengenai kepentingan menziarahi atau menerusi kempen yang berkaitan daripada pelbagai pihak,"ujarnya.

Selain itu, ibu bapa seharusnya menanamkan amalan menziarah di dalam diri anak-anak kecil. Manakala, rancangan menarik di kaca televisyen pula perlulah ditayangkan pada malam hari bagi memberi peluang kepada anak-anak muda yang lebih gemarkan hiburan, melakukan amalan menziarah pada waktu siang.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...