Sunday, May 2, 2010

“IHSAN MEMPERKASA JATIDIRI PEKERJA ” (30 APRIL 2010 / 15 JAMADIL AWWAL 1431)

Pada hari Jumaat yang berkat ini, dikenali juga sebagai Penghulu segala hari, maka saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita berterusan bertakwa kepada Allah SWT, takut kepada Allah dengan menghayati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan ketakwaan itu, akan mewujudkan anak-anak dan keluarga kita yang menjadi asas kekuatan masyarakat ini menjadi insan soleh serta membawa kesejahteraan di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah Jumaat pada hari ini ialah: “IHSAN MEMPERKASA JATIDIRI PEKERJA”.




Dalam al-Quran diterangkan bahawa Allah SWT menciptakan manusia dan jin adalah untuk beribadah dan menjadi hamba Allah iaitu menguruskan dunia ini dengan sebaik mungkin mengikut standard piawaian atau peraturan yang ditetapkan-Nya. Selepas itu manusia akan dikembalikan ke akhirat untuk menghadapi penilaian dan pengadilan sejauhmana prestasi melaksanakan perintah Allah SWT. Inilah matlamat utama dan halatuju kehidupan manusia di dunia ini.

Sebagai pekerja Allah di atas dunia ini samada bekerja dengan kerajaan, swasta dan bekerja sendiri , mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. Menurut ajaran Islam, pada dasarnya setiap pekerjaan orang Islam mempunyai dua sasaran utama : Pertama melaksanakan hak Allah SWT dan Keduanya melaksanakan muamalah sesama manusia seperti dalam politik, undang-undang, pendidikan, ekonomi, pertanian, kesihatan dan sebagainya. Mimbar amat yakin jika umat Islam dapat memenuhi dengan cemerlang melaksanakan dua sasaran itu maka umat Islam akan memperolehi kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

Bagaimanapun isu yang sering menjadi perbahasan hangat mengenai pekerja ialah kualiti pekerjaan dan kecemerlangan dalam usaha memberi perkhidmatan yang memuaskan kepada dua pelanggan tadi iatu Allah SWT dan manusia.

Islam telah memberi peringatan kepada umatnya supaya sentiasa berbuat baik, cemerlang dan menjaga kualiti atau bersifat ihsan dalam melakukan setiap pekerjaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 77:




Maksudnya: “ Dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan”.


Ketika mengulas perkara yang sama mengenai kecemerlangan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, Rasulullah SAW bersabda:



Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah azza wajalla sangat suka (bahkan cinta) jika seseorang daripada kamu, apabila melakukan kerja, maka dia bekerja dengan tekun.(Riwayat Baihaqi)”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Dalam hadith terkenal yang diriwayatkan al-Bukhari menyatakan Malaikat Jibril mengajar Rasulullah SAW tentang perihal Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan. Jika salah satu komponen ini tidak ada atau tidak difahami, maka kita belum menghayati Islam secara sempurna.

Berdasarkan pemerhatian mimbar, memahami dan menghayati sifat ihsan ini akan membantu umat Islam mewujudkan pekerjaan yang cemerlang dan berkualiti tinggi. Sifat ihsan bermaksud kita melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan perasaan yakin seolah-olah pekerjaan kita dilihat dan dipantau oleh Allah SWT. Sabda Rasullullah SAW ketika di tanya oleh Jibril tentang ihsan:



Maksudnya: “ Apakah ihsan itu?, sesungguhnya kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu”. ( Riwayat al-Bukhari )

Unsur penting sifat ihsan ialah bekerja secara profesional, menguasai bidang kerja, kreatif dan inovatif untuk menghasilkan kualiti kerja yang tinggi. Penghasilan yang baik sudah tentu menjadi hak pekerja dan memberi kepuasan kepada pelanggan. Persoalan besar timbul ialah bagaimana cara untuk melahirkan ihsan atau sebaik-baik pekerjaan yang amat dituntut dalam Islam itu?. Berdasarkan dalil al-Quran, hadith Rasulullah dan pakar pengurusan, prinsip ihsan meliputi perkara berikut:

Pertama: Berakhlak mulia,

Kedua: Kita perlu mempunyai keterampilan dan kemahiran tinggi dalam sesuatu bidang tugas,

Ketiga: Mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman serta kecerdasan dalam menganalisis sesuatu maslahah dan peka dengan keperluan masyarakat semasa,

Keempat: Mempunyai wawasan dan dapat membuat jangkaan tentang keperluan masa depan,

Kelima: Mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam menghasilkan kecemerlangan sesuatu aktiviti.

Prinsip ihsan tidak berhasil jika semata-mata kuat beragama tetapi tidak menguasai ilmu dan kemahiran pekerjaan. Prinsip ihsan juga akan cacat jika hebat menguasai ilmu tetapi lemah dalam penghayatan agama. Berdasarkan pengertian sebenar sifat ihsan ini, akan melahirkan pekerja yang bertanggungjawab, beristiqamah dengan suruhan Allah SWT dan sekaligus mengutamakan kepentingan pelanggan dalam melakukan tugasannya, samada ketika berhadapan dengan orang ramai atau di tempat yang sunyi, samada ketika bersama dengan majikan ataupun ketika ketiadaan majikan.

Pekerja yang melaksanakan tugas mengikut bidang yang ditetapkan dengan penuh ihsan dijanjikan pahala yang besar daripada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 112:

Maksudnya, ”Sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya, dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

Muslimin yang di Rahmati Allah,

Mimbar mengingatkan bahawa kecemerlangan sesebuah organisasi itu tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang gigih, tidak datang melayang tanpa tekad dan azam yang kuat dan tidak dapat kita capai tanpa ada perubahan ke arah peningkatan.

Selari dengan tuntutan ajaran Islam, Allah SWT telah menegur umat manusia supaya berani membuat perubahan positif dalam semua aspek kehidupan. Sikap ini dikenalpasti memajukan lagi prestasi dan kualiti keinsanan seseorang. Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 11:


Maksudnya: “. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..”

Bekerja atas dasar ihsan untuk memenuhi hak Allah SWT dan keperluan manusia sejagat akan memperkasa jati diri dan meningkatkan harga diri pekerja. Seseorang akan takut melakukan perbuatan keji, tercela seperti melakukan kerosakan, penipuan, rasuah, mencuri tulang, ponteng kerja, dan perbuatan negatif yang lain. Jangan mendapatkan rezeki atau kekayaan dengan sembarangan, dengan jalan haram, dengan jalan penipuan, rasuah, penyelewengan dan lain-lain.

Semua wang kekayaan yang didapati dengan cara haram apalagi dengan menganiaya pihak lain dengan merugikan orang lain adalah wang dan kekayaan yang tidak berkat. Kekayaan secara haram hakikatnya tidak membawa kesenangan dan kebahagian dalam hidup, tetapi akan membawa kesengasaraan dan kecelakaan di dunia dan akhirat. Jiwa manusia, jiwa pekerja pada asalnya adalah sesuatu yang suci. Tetapi harta yang diperolehi secara tidak halal tidak mungkin dapat memberi kebaikan pada jiwa kita.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru semua golongan pekerja, sempena sambutan Hari Pekerja 2010 yang bertemakan:Pekerja berinovasi pemacu tranformasi, maka marilah sama-sama kita memperkasa jati diri dengan menghayati sifat ihsan supaya setiap amalan dan pekerjaan kita memenuhi standard piawaian Allah dan memberi kepuasan kepada Allah SWT serta manusia sejagat.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 105:



Maksudnya: “ Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah SWT. dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah SWT. yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...