Saturday, April 10, 2010

Pengurusan Stres

Apakah stres atau perasaan tertekan?

Stres adalah suatu perasaan yang anda alami apabila anda menerima tekanan. Tekanan atau tuntutan yang anda terima mungkin datang dalam bentuk mengekalkan jalinan perhubungan, memenuhi harapan keluarga dan untuk mencapai matlamat akademik.

Kenapa saya rasa tertekan?

Anda akan merasa tertekan apabila anda merasa seakan tidak mampu memenuhi tuntutan sebagaimana yang diharapkan daripada anda. Sejauh mana anda rasa tertekan dan bagaimana anda menghadapi perasaan tertekan itu bergantung kepada keupayaan anda mengurus tekanan berkenaan.

Adakah stres itu tidak baik?

Stres merupakan sesuatu yang positif dan juga negatif. Stres diperlukan untuk kemajuan di dalam kehidupan harian kita. Melalui keadaan tertekan kita dapat meningkatkan keupayaan untuk menyesuaikan diri, mengatasi dan bertindak balas terhadap cabaran kehidupan. Sebaliknya, stres memberi kesan yang tidak baik apabila ianya tidak ditangani dengan sebaik mungkin atau dilihat sebagai negatif. Pengurusan stres yang tidak sempurna akan mengakibatkan perasaan ketidakmampuan dan seterusnya menyebabkan gagal untuk meningkatkan daya ketahanan diri.

Apakah punca utama penyebab stres?

• Biologikal
o Apabila badan anda tidak sihat
o Contoh: kesakitan, ketidakselesaan, ketidakupayaan pada organ deria (penglihatan, pendengaran, dan lain-lain)

• Pemikiran negatif
o Takut dan bimbang, kenangan pahit, pemikiran yang tidak rational secara tersendirinya mengundang perasaan tertekan

• Tingkah laku
o Tingkah laku anda yang suka berjalan cepat, bercakap dengan nada kuat dan berfikiran tidak rasional boleh mengakibatkan stres

• Suasana sosial
o Orang di sekeliling anda boleh menyebabkan stres
o Contoh: Perselisihan di sekolah atau di rumah

• Suasana fizikal
o Perubahan yang tidak selesa di persekitaran tempat anda
o Contoh: Suhu, kebisingan, warna, kecerahan, bauan, rasa dan kesakitan yang melampau

Bagaimana untuk mengetahui saya di dalam keadaan tertekan?

• Degupan jantung meningkat
• Rasa ketegangan otot yang bersedia untuk bertindak balas
• Pernafasan menjadi cepat untuk membekalkan sebanyak mungkin oksigen kepada otot - otot
• Proses pencernaan menjadi lambat dan pengeluaran asid bertambah di dalam perut yang mengakibatkan anda mengalami kesakitan fizikal
• Mengalami perasaan negatif seperti keresahan, kebimbangan, ketakutan atau kemarahan
• Mengalami masalah tidur (masalah untuk tidur dan tidur yang lena atau tidur berlebihan)
• Mengalami masalah dalam selera makan (tidak berselera untuk makan pada waktunya, atau sentiasa terasa lapar)

Apa akan berlaku jika saya terlalu lama berada di dalam keadaan tertekan?

• Mengurangkan daya pertahanan badan - mudah diserang penyakit
• Menambahkan lagi keparahan penyakit yang sedang dialami
• Menyumbang kepada wujudnya masalah kesihatan pada masa akan datang contohnya Tekanan Darah Tinggi, Paras Kolesterol yang tinggi, Penyakit Jantung dan Penyakit Angin Ahmar (Strok)
• Timbul masalah psiko logikal contoh : keresahan, kemurungan, masalah pemakanan dan masalah tidur
• Kurang kemahiran menyelesaikan masalah mengakibatkan anda tidak mengamalkan cara hidup yang sihat, contoh: menghisap rokok, ketagihan arak, penyalahgunaan dadah dan bergaduh

Apakah yang dapat saya lakukan apabila saya stres?

• Kenal pasti punca yang menyebabkan stres anda
• Latih diri untuk menguasainya
• Dapatkan bantuan

Bagaimana hendak menangani stres saya?

• Tarik nafas dan tahan pernafasan anda
• Kurangkan pergerakan atau berdiam diri untuk mengurangkan degupan jantung
• Legakan otot-otot anda
• Alihkan pemikiran negatif dan tidak rasional anda kepada yang lebih positif dan membina
• Tumpukan perhatian kepada perkara yang positif
• Gunakan jenaka untuk memulihkan perasaan stres
• Ubah tempat persekitaran anda
• Jauhkan diri anda dari suasana yang boleh memberi kesan stres
• Libatkan diri anda dengan aktiviti yang menyeronokkan
• Kenal pasti masalah dan cari jalan penyelesaiannya

Bagaimana hendak mencegah dari mengalami stres?

• Kenali diri anda dengan lebih baik. Buat dan simpan catatan mengenai suasana, tingkah laku dan pemikiran yang menyebabkan anda stres dan bagaimana anda menanganinya di dalam buku catatan. Anda akan mudah menguruskan stres anda setelah dapat mengenali diri anda sendiri dengan lebih baik

• Melalui buku catatan anda dapat:
o Mengurus stres dan menyelesaikan masalah anda dengan cara yang paling berkesan
o Mengenali keadaan yang boleh membuat anda stres
o Mengenali siapa yang boleh membuat anda stres

• Kekerapan bersenam dapat membantu anda:
o Meredakan tekanan
o Meningkatkan daya tahan diri untuk mengelak stres

• Kerap melakukan senaman 'relaxation'
• Amalkan pemakanan seimbang
• Amalkan tabiat tidur yang betul supaya anda mendapat cukup rehat dan mengelak stres
• Mempunyai rangkaian kawan-kawan yang boleh menyokong dan membantu anda
• Mempunyai kepercayaan hidup yang baik

Bolehkah saya menyediakan diri untuk menghadapi stres?

Ya, anda boleh bersedia untuk menangani atau mengelak stres melalui perancangan latihan dengan kawan-kawan atau ahli keluarga. Anda juga boleh mendapat bantuan daripada ahli profesional dalam pengurusan stres seperti kaunselor, pakar psikologi dan pakar psikiatri.

Adakah saya memerlukan ubat-ubatan untuk menangani stres?

Jika anda tidak dapat mengatasi stres anda, berkemungkinan anda perlu diberi ubat untuk menenangkan diri dan membantu untuk anda tidur pada waktu malam. Anda perlu mendapat nasihat doktor mengenai hal ini.

Siapa dapat membantu saya?

• Ahli keluarga
• Kawan-kawan
• Guru
• Kaunselor
• Pakar Psikologi
• Guru Agama

http://www.infosihat.gov.my/penyakit/Remaja/PENGURUSANSTRES.pdf

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...