Saturday, March 27, 2010

Hang Jebat

Menurut Hikayat Hang Tuah, Hang Jebat merupakan seorang pahlawan yang telah dibunuh oleh Hang Tuah kerana derhaka dalam pertarungan yang memakan masa 3 hari 3 malam. Hang Jebat pada masa pertarungan itu menggunakan keris Taming Sari yang dianugerahkan oleh Sultan Melaka semasa melantiknya menjadi Laksamana. Keris itu dikatakan menjadikan Hang Jebat kebal tidak lut senjata. Hang Tuah telah berjaya merampas semula keris Taming Sari dalam pergelutan dan menikam Hang Jebat. Selepas menikam Hang Jebat, Hang Tuah yang baru kembali dari buangan, kembali kerumahnya. Hang Jebat tidak terus mati, tetapi telah membalut lukanya dengan kain cindai dan kemudiannya memasuki kampung-kampung untuk mengamuk membunuh siapa sahaja yang melintas dihadapannya. Dia akhirnya menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Hang Tuah.

Hang Jebat dikatakan telah membuat perhubungan sulit dengan seorang dayang istana bernama Dang Wangi. Ada kisah yang menyebut bahawa sebenarnya Hang Jebat telah bernikah dengan Dang Wangi dan semasa Hang Jebat terbunuh, Dang Wangi sedang hamil anak Hang Jebat. Hang Tuah kemudiannya menghantar Dang Wangi tinggal di Singapura untuk melahirkan dan membela anak Hang Jebat yang dikatakan bernama Hang Nadim. Dalam kisah Singapura Di Langgar Todak, budak bijak yang memberi pendapat supaya berkubukan batang pisang dari serangan todak dikatakan adalah Hang Nadim anak kepada Hang Jebat.

Keberanian dan ketegasan Hang Jebat untuk mencari keadilan sehingga sanggup menderhaka kepada Sultan adalah satu-satunya persoalan yang menjadikan Nama Hang Jebat begitu harum sehingga ke zaman ini. Ungkapan katanya 'Raja adil raja disembah,raja zalim raja disanggah,' menjadi kata-kata hikmat setiap kali memperkatakan perjuangan untuk menuntut keadilan atau bila hendak memperkatakan kezaliman raja yang memerintah. Kesetiaan Hang Tuah yang membuta tuli sebaliknya menjadi cemuhan orang-orang di generasi ini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...